'Hilang akal' belasah beruk, lelaki dicemuh netizen

'Hilang akal' belasah beruk, lelaki dicemuh netizen

anbia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sengaja belasah, tampar dan hempas berulang kali seekor beruk peliharaan.

Itu tindakan ganas seorang lelaki tempatan yang didapati mendera haiwan berkenaan sebelum video berdurasi 1 minit 44 saat itu tular di media sosial semalam.

Berdasarkan video berkenaan lelaki berusia lingkungan 30-an dipercayai berasal dari negeri di Timur tanah air didapati bergelut dengan beruk dewasa berkenaan yang dipasangkan rantai di leher.

Lelaki itu kemudian mencekik leher beruk berkenaan sebelum menampar berulang kali muka dan kepala haiwan liar berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit kemudian mengheret beruk itu sebelum mengangkat dan menghempasnya ke tanah.

Tindakan itu seolah-olah mendapat sokongan rakan-rakannya yang didengar ketawa dan tidak menghalang tindakan ganas itu.

Sementara itu Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) memaklumkan menerima aduan daripada orang ramai berhubung penyebaran video berkenaan yang menunjukkan penganiayaan terhadap seekor beruk yang dipercayai berlaku di Kelantan.

“Dalam video itu, beruk berkenaan dilihat diikat menggunakan rantai, ditampar beberapa kali, dan dihentak hingga menyebabkan haiwan itu mengalami kesakitan.

“Kami mendesak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk mengambil tindakan segera.

“Kami juga menyeru saksi atau individu yang mempunyai maklumat mengenai insiden ini untuk tampil membantu dalam siasatan. Kami juga ingin mengingatkan bahawa penganiayaan terhadap haiwan adalah satu kesalahan serius di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010,” ujar SAFM.

Berdasarkan Seksyen 86, pelaku boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga 3 tahun, atau kedua-duanya sekali.

SAFM memaklumkan akan terus memantau perkembangan kes ini dan memastikan pihak berkuasa bertindak tegas serta segera agar keadilan dapat ditegakkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top