Demonstrasi Di Indonesia: Antara Fakta dan Punca Tercetusnya Kemarahan Rakyat

Petaling Jaya: Sejak kebelakangan ini, Indonesia menghadapi demonstrasi besar-besaran di kawasan seperti Jakarta, Surabaya dan Medan. Demonstrasi ini telah berlaku sejak 25 Ogos yang lalu menunjukkan rasa tidak puas hati rakyat Indonesia terhadap kerajaan mereka. Susulan itu, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengarahkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang tegas terhadap rakyatnya yang menunjukkan perasaan dengan turun ke jalanan untuk melakukan keganasan terutama di bandar-bandar utama. Hal ini mengakibatkan seramai 1,200 orang telah ditahan. Kesan daripada itu, beberapa kawasan dirosakkan, dibakar dan rumah ahli politik turut diceroboh dan barangan peribadi diambil sebagai tanda protes rakyatnya. Perkara ini secara tidak langsung meraih perhatian orang ramai khususnya negara luar yang ingin mengetahui apakah punca demonstrasi yang dilakukan oleh rakyat di Indonesia.

Antara punca rakyat Indonesia melakukan demonstrasi besar-besaran di Indonesia ialah ahli parlimen mendapat elaun perumahan yang tinggi. Perkara ini mula mendapat perhatian apabila mendapati bahawa seramai 580 ahli Parlimen menerima elaun perumahan bulanan sebanyak 50 juta rupiah (RM12,905.25) iaitu hampir 10 kali ganda gaji minimum di Jakarta dan 20 kali ganda di kawasan luar bandar. Pendedahan ini menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat kerana terpaksa menghadapi keadaan ekonomi yang semakin mendesak dan rakyat melihat pendedahan ini sebagai lambang ketidakseimbangan dan menunjukkan sikap tamak ahli parlimen di Indonesia.

Selain itu, keadaan bertambah buruk apabila mendengar berita kematian Affan Kurniawan iaitu seorang pemandu teksi motosikal. Beliau dibunuh kerana dilanggar oleh kenderaan polis semasa demonstrasi di Jakarta. Insiden yang melibatkan kematian pemandu itu telah mencetuskan kemarahan penduduk setempat di situ dan mengakibatkan serangan lebih besar termasuk di ibu pejabat polis dan pembakaran bangunan di kawasan Kwitang. Malah, akaun Instagram milik Syarikat Gojek di turut memuat naik reben hitam dan turut bersedih dengan insiden yang membabitkan kematian Affan.

Di samping itu, rakyat Indonesia semakin menyuarakan bantahan terhadap pelbagai kenaikan yang memberi tekanan kepada kehidupan mereka. Antara isu yang dibangkitkan ialah kenaikan cukai tanah, kos pendidikan dan harga makanan yang semakin tinggi. Peningkatan ini menyebabkan ramai yang merasa terbeban kerana pendapatan mereka tidak menampung kos sara hidup mereka. Selain itu, orang ramai turut marah apabila syarikat swasta memberhentikan pekerja secara besar-besaran. Malah, terdapat kesatuan pelajar dan buruh seperti Gejayan Memanggil dan Parti Buruh turut mendesak kerajaan untuk menghapuskan sistem gaji rendah, menghentikan kerja kontrak yang merugikan pekerja dan menuntut gaji minimum dinaikkan selaras dengan peningkatan kadar inflasi.

Kenyataan angkuh segelintir ahli parlimen juga menjadikan keadaan semakin tegang. Ahli Parlimen dari Parti NasDem iaitu Ahmad Sahroni telah menyifatkan individu yang menuntut pembubaran parlimen sebagai ‘orang paling bodoh di dunia’. Beliau kemudian membetulkan kenyataan itu selepas menerima kecaman dan kritikan daripada orang ramai. Apa yang lebih menarik perhatian, kediaman Menteri Kewangan, Sri Mulyani Indrawati yang juga ahli politik Eko Patrio yang menjadi ahli politik Uya Kuya turut dipecah masuk. Video tular menunjukkan barangan peribadi seperti beg tangan, jam tangan dan tub mandi mewah, barangan elektronik, dokumen, kenderaan dan kostum Iron Man milik Sahroni turut diambil. Perkara ini secara tidak langsung menunjukkan betapa marahnya rakyat Indonesia terhadap isu yang berlaku.

Akibatnya, beberapa perkara dituntut oleh penunjuk perasaan iaitu berhubung perletakan jawatan Presiden Prabowo Subianto, meminta parlimen untuk dibubarkan dan memecat Ketua Polis Negara. Dalam protes ini, seramai tujuh individu dilaporkan meninggal dunia termasuk Affan, pelajar universiti di Yogyakarta, seorang lelaki yang dipukul hingga mati selepas disalah anggap sebagai pegawai polis, manakala 469 individu dilaporkan cedera dan hampir 100 orang dimasukkan ke hospital. Menurut pihak berkuasa tempatan, semasa tunjuk perasaan itu, jumlah kerosakan yang dicatatkan di Jakarta ialah sebanyak 55 bilion rupiah (RM19.45 juta). Tambahan pula, Prabowo Subianto telah mengumumkan pemotongan faedah penguatkuasaan undang-undang, menggantung perjalanan ke luar negara dan menyiasat tindakan polis berkaitan kematian Affan. Malah, beliau turut berjanji akan memberikan bantuan kewangan kepada keluarga mangsa dan lawatan berprofil tinggi turut dibatalkan oleh Prabowo susulan krisis yang berlaku di Indonesia.

Secara keseluruhannya, demonstrasi besar-besaran yang berlaku di Indonesia menunjukkan keadaan negara itu tidak stabil. Kejadian ini bukan sahaja berpunca daripada masalah ekonomi dan sosial tetapi juga akibat daripada sikap segelintir pemimpin yang tidak mengambil serius penderitaan yang dialami oleh rakyatnya. Justeru, para pemimpin haruslah menjadi contoh teladan yang baik dengan menunjukkan sikap bertanggungjawab dalam memimpin, jujur dan sentiasa prihatin terhadap rakyat.

Oleh: Muhammad Shahrizal bin Yaacob
Jabatan Usuluddin dan Dakwah,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Scroll to Top