'Jangan jadi tali barut' – KP Kelantan

'Jangan jadi tali barut' – KP Kelantan

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Polis Kelantan memberi amaran kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri itu agar tidak bersekongkol atau menjadi tali barut kepada mana-mana sindiket penyeludupan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, amanah dan integriti pasukan mesti dipertahankan.

“Jangan sampai ada dalam kalangan kita yang kelihatan setia di hadapan, namun akhirnya mengkhianati amanah serta mencemarkan maruah pasukan dari dalam.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa saya tidak akan sesekali berkompromi terhadap mana-mana warga PDRM Kelantan yang didapati terbabit dalam rasuah, pembocoran maklumat atau salah laku.

“Tindakan tegas akan diambil demi memastikan integriti, kredibiliti dan kepercayaan rakyat terhadap pasukan terus terpelihara,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Mohd Yusoff berkata, isu penyeludupan dan jenayah rentas sempadan terus menjadi antara cabaran utama yang diberi perhatian serius oleh polis Kelantan.

Katanya, polis Kelantan bersama agensi penguat kuasa berkaitan sentiasa mempertingkatkan operasi, kawalan keselamatan serta tindakan penguatkuasaan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand bagi membanteras aktiviti penyeludupan, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan jenayah rentas sempadan yang boleh menggugat keselamatan negara.

“Bagi tempoh Januari hingga April tahun ini, sebanyak 375 kes membabitkan barangan kontraban berjaya direkodkan dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah lebih RM10 juta serta membabitkan 212 tangkapan.

“Dalam tempoh yang sama juga, sebanyak 135 kes membabitkan barangan subsidi berjaya direkodkan dengan nilai rampasan keseluruhan lebih RM200,000 serta membabitkan 70 tangkapan.

“Pada masa sama, kita turut merekodkan seramai 102 PATI dari pelbagai negara serta 47 tangkapan transporter yang terlibat dalam kegiatan rentas sempadan secara haram,” katanya.

Katanya, hasil risikan yang dijalankan mendapati trend terkini sindiket penyeludupan kini mula beralih dengan menggunakan laluan persisir pantai bagi mengaburi pihak berkuasa.

Katanya, ancaman penyeludupan kini bukan saja tertumpu di daerah sempadan seperti Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli, malah kawasan lain juga berpotensi dijadikan laluan transit oleh sindiket terbabit.

“Justeru, saya menyeru seluruh warga polis Kelantan agar terus mempertingkatkan kesiapsiagaan, memperkukuh elemen risikan serta mempererat kerjasama strategik bersama agensi penguat

kuasa lain demi memastikan ancaman jenayah rentas sempadan dapat dibendung secara lebih berkesan, menyeluruh dan tuntas,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top