Kota Kinabalu: Lebih 3,400 set borang penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sudah pun dijual oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat pagi ini.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata daripada jumlah itu, 325 bakal calon sudah mengemukakan bayaran deposit mereka.
“Setakat hari ini, kita sudah menjual lebih 3,400 borang (penamaan calon) di seluruh pejabat-pejabat RO (pegawai pengurus pilihan raya) kita (di Sabah) dan juga di ibu pejabat (di Putrajaya),” katanya.
Beliau berkata demikian ditemui media selepas mengadakan tinjauan persiapan akhir penamaan calon PRN Sabah ke-17 di Dewan Sri Putatan di sini, hari ini.
Proses penamaan calon bagi PRN Sabah membabitkan 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) akan berlangsung di 25 pusat penamaan calon di seluruh negeri ini, esok.
Ramlan berkata, SPR bersedia untuk menerima kehadiran bakal calon termasuk di kawasan yang dijangka bakal ditandingi oleh ramai calon.
“Kita akan buka (pusat penamaan calon) daripada jam 9 hingga jam 10 pagi. Jadi kita minta semua bakal calon datang dalam tempoh itu.
“Jadi urusan untuk kita memproses borang itu, tak ada had ditetapkan.
“Kita akan selesaikan sehingga semua borang yang sudah dikumpulkan oleh kita dapat diproses sepenuhnya.
“Apa yang penting, bakal calon sebaiknya datang awal, kata akan daftar kehadiran mereka dan prosesnya akan kita laksanakan sehingga selesai,” katanya.
Beliau turut menasihatkan penyokong parti yang hadir mengiringi calon esok dapat menghormati proses dan memberi ruang kepada SPR menyempurnakan tanggungjawab mereka tanpa sebarang gangguan.
“Saya berharap proses penambahan calon esok akan dapat berjalan dengan aman dan tenang. Semua pihak kita harap dapat memberi kerjasama sebaik mungkin kepada SPR dan juga pihak keselamatan.
“Kita juga harap mereka dapat mengelakkan sebarang provokasi dan sebagainya. Yang penting, kita harap proses penamaan nanti dapat berjalan dengan lancar dan sempurna,” katanya.
Menyentuh mengenai persiapan penamaan calon esok, Ramlan berkata, segala persediaan diperlukan termasuk kemudahan internet dan lojistik serta ruang yang selesa kepada bakal calon sudah disiapkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




