Penduduk Gaza bergelut hadapi ribut, khemah perlindungan koyak dan basah

Penduduk Gaza bergelut hadapi ribut, khemah perlindungan koyak dan basah

Gaza City: Khemah-khemah yang menempatkan orang awam di Gaza gagal menahan hujan pertama musim sejuk, dengan sebahagiannya terkoyak sehingga menyebabkan keluarga terdedah tanpa perlindungan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam beberapa saat, kain lusuh yang berfungsi sebagai satu-satunya tempat perlindungan mereka bertukar menjadi kolam berlumpur yang memerangkap kaki kanak-kanak dan membasahi kepala ibu yang cuba melindungi apa yang tinggal di tempat tidur mereka.

Ketika hujan lebat turun, beribu-ribu keluarga mendapati diri mereka dalam perjuangan baharu dengan ribut, sama seperti mereka bergelut sebelum ini menentang kebuluran dan serangan Israel selama dua tahun.

Tanpa infrastruktur untuk bergantung, keadaan sama berlaku di seluruh kem dengan ada keluarga dilihat menyusun batu dan pasir untuk mengangkat tikar alas tidur dari tanah, sementara yang lain mencari sudut kering untuk berteduh selepas hujan.

Terdahulu pada Jumaat, hujan dan ribut melanda ratusan khemah serta tempat perlindungan, memburukkan lagi nilai kemanusiaan di Gaza yang terperangkap perang dua tahun dengan Israel.

Ini kerana penduduk masih terkurung di ruang sempit di belakang apa yang dikenali sebagai “garisan kuning”, selepas Israel menghalang mereka daripada kembali ke rumah yang dimusnahkan dalam serangan.

Garisan kuning ialah garisan pengunduran pertama yang digariskan dalam fasa awal perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas, yang berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu.

Ia memisahkan kawasan yang masih di bawah kawalan tentera Israel di timur daripada kawasan di mana rakyat Palestin dibenarkan bergerak di barat.

Pasukan Israel secara rutin menyasarkan rakyat Palestin yang menghampiri kawasan walaupun tanpa melintasi garisan kuning, di kawasan di mana pergerakan dibenarkan.

Keluarga ini yang hilang tempat tinggal menghadapi keadaan bencana disebabkan kekurangan keperluan asas, kesukaran untuk mengakses bekalan penting dan kekurangan perkhidmatan penting yang kritikal di bawah sekatan Israel yang berterusan.

Kebanyakan orang awam yang kehilangan tempat tinggal bergantung pada khemah usang untuk perlindungan.

Pejabat media kerajaan Gaza menganggarkan sekitar 93 peratus daripada semua khemah perpindahan tidak lagi sesuai untuk didiami, iaitu kira-kira 125,000 khemah daripada 135,000.

Di tengah-tengah keadaan yang sukar itu, Abu Alaa, seorang lelaki warga emas Palestin berkata, dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan selepas khemahnya dibanjiri air, rumahnya di utara Gaza musnah dan tentera Israel menghalangnya daripada kembali ke sana.

“Khemah dan alas tidur penuh dengan air hujan,” katanya kepada Anadolu, sambil menjelaskan bahawa dia kini memerlukan khemah dan tempat perlindungan baharu kerana tidak mempunyai tempat lain untuk pergi.

Mohammad al-Jarousha yang berada dalam situasi sama dan menghadapi masalah kewangan teruk berkata, dia tidak mampu membeli kepingan plastik untuk menutup khemah kanvasnya yang mudah masuk air ketika ribut.

“Kami dibanjiri hujan. Kami memerlukan penyelesaian. Kami melalui genosid (perang) dan kini kami melalui satu lagi genosid. Tiada siapa yang memberi perhatian kepada kami walaupun situasi tragis yang kami hadapi,” tambahnya.

Bagi Sabir Qawas, yang anak perempuannya yang berusia dua tahun menghidap kanser, ribut itu membawa lebih banyak kesusahan kerana khemahnya runtuh kerana hujan.

Qawas memberitahu Anadolu bahawa dia kini tinggal di jalanan dan tidak mampu membeli khemah baharu selain, tiada organisasi yang menawarkan bantuan.

Sepanjang hampir dua tahun perang, puluhan ribu khemah telah rosak akibat serangan udara Israel atau musnah akibat sebab semula jadi seperti kepanasan musim panas melampau dan angin musim sejuk yang kuat.

Israel membunuh lebih 69,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan mencederakan lebih 170,000 orang lain dalam serangan di Gaza sejak Oktober 2023.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top