Doku kritik kempen kelayakan Piala Dunia Belgium

Doku kritik kempen kelayakan Piala Dunia Belgium

Astana: Jeremy Doku berkata Belgium tidak menunjukkan prestasi yang bagus dalam kebanyakan aksi kelayakan Piala Dunia, meskipun mereka hanya perlu menang ke atas Liechtenstein di laman sendiri, semalam, untuk mengesahkan slot ke pusingan akhir tahun depan.

Belgium sepatutnya sudah mengesahkan tempat mereka jika berjaya meraih kemenangan di Kazakhstan, namun keputusan seri 1-1 membuatkan impian mereka tertangguh seketika.

Doku, yang menjadi antara pemain terbaik Belgium dalam perlawanan itu, turut mengkritik prestasi rakan sepasukannya.

“Kami tidak menang menentang Kazakhstan, jadi kami tidak boleh berasa berpuas hati.

“Kami sudah kehilangan terlalu banyak mata kerana kami tidak cukup bagus dalam sebahagian besar perlawanan. Kempen kami tidak berjalan dengan baik,” katanya.

Pemain sayap itu berpendapat Belgium tersilap pendekatan ketika menentang Kazakhstan di Astana Arena.

“Kami menganggap mereka akan bermain hantaran jauh, tetapi mereka pula bermain hantaran pendek dan lebih tersusun,” kata pemain berusia 23 tahun itu.

“Ia adalah perlawanan yang sangat berbeza berbanding kali terakhir kami menentang mereka. Mungkin kami tidak menganalisis lawan dengan cukup baik,” katanya.

Doku turut ditanya oleh stesen televisyen Belgium, VTM, sama ada ketiadaan pemain seperti Thibaut Courtois, Kevin De Bruyne dan Romelu Lukaku menjadi punca aksi mereka terjejas.

Dia menggelengkan kepala dan berkata: “Kevin, Romelu, Thibaut… jika kami perlukan mereka untuk menang menentang Kazakhstan, maka kami tidak akan mampu lakukan apa-apa di Piala Dunia. Saya rasa jika kami mahu jadi pasukan yang bagus di Piala Dunia, kami mesti mampu menang perlawanan seperti ini.”

Belgium kini mendahului Kumpulan J dengan kelebihan dua mata dan dijangka mengesahkan tiket ke pusingan akhir di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat (AS) apabila menentang Liechtenstein di Liege pada Rabu ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top