Zolkipli puas tunai impian KL selepas 31 tahun

Zolkipli puas tunai impian KL selepas 31 tahun

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Umpama mimpi jadi realiti apabila pengendali pasukan Kuala Lumpur (KL), Zolkipli Samion akui hasrat untuk menjulang kembali Piala Emas Raja-Raja (PERR) selepas kali pertama mendakapnya pada 1994 berulang kembali.

Katanya, beliau tidak menyangka selepas memenangi PERR selaku pemain kira-kira 31 tahun lalu, kini Zolkipli sekali lagi mencium trofi kedua paling lama selepas Piala Malaysia itu sebagai jurulatih apabila pasukan menang menumbangkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di perlawanan akhir, malam tadi.

Dalam aksi final di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, pasukan KL berjaya menumbangkan ATM 1-0 hasil jaringan tunggal Suhaimi Abu di babak pertama sekali gus menamatkan badi kejuaraan PERR selama 31 tahun buat skuad Warga Kota.

“Tercapai juga hasrat saya, selepas 94 sampai lah sekarang. Kini sebagai jurulatih, 31 tahun lalu saya menjadi pemain dan kini jurulatih,” katanya selepas aksi final itu.

Ujarnya lagi, hujan lebat yang turun sejak tiupan wisel permulaan seolah membawa tuah kepada pasukannya di mana gol kemenangan KL itu terhasil daripada bantuan air bertakung.

“Hujan membawa rahmat dan satu doa, di mana hujan memberi kemenangan kepada kami sebab gol yang datang itu pun dari air tersangkut dan terus menjaringkan gol,” katanya.

Sebagai juara, KL membawa pulang Piala Pusingan, medal dan hadiah wang tunai RM50,000 manakala ATM meraih RM30,000 beserta medal.

Kejayaan KL menjuarai PERR edisi ke-103 itu sekurang-kurangnya mengubati kekecewaan tewas kepada Selangor dalam perebutan Piala Agong 2025 yang berlangsung bulan lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top