am@hmetro.com.my
Nibong Tebal: Seramai 33 lelaki termasuk warga asing yang dikesan tidak menunggang motosikal di lorong sepatutnya, ditahan dalam operasi di KM3.8 Jambatan Kedua Pulau Pinang menghala Batu Kawan, di sini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou berkata, operasi dijalankan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaa Trafik (JSPT) pada awal pagi Ahad, mendapati penunggang motosikal menggunakan lorong kenderaan dan ia menyalahi undang-undang.
Katanya, apabila diarah berhenti, sekumpulan penunggang didapati berpatah balik ke arah Batu Maung dengan menunggang secara melawan arus.
“Tindakan itu amat berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
“Hasil tindakan pantas pasukan operasi, 33 lelaki berusia lingkungan 16 hingga 27 tahun ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Mengulas lanjut, Jay January berkata, pihaknya turut menyita 51 motosikal mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Sepanjang operasi, pemeriksaan dibuat terhadap 110 motosikal dan 74 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.
“Pada masa sama, JSPT Bukit Aman dan Pulau Pinang serta pihak PLUS turut menjalankan operasi bersepadu motosikal zon utara di daerah Seberang Perai Tengah,” katanya yang akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi mengekang samseng jalanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




