Najwa, suami jalani pengalaman baharu sebagai ibu bapa

Najwa, suami jalani pengalaman baharu sebagai ibu bapa

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi yang juga pensyarah, Najwa Latif, 30, menyifatkan kelahiran cahaya mata sulungnya pada tarikh sama dengan ulang tahun perkahwinannya pada 11 November lalu sebagai rezeki.

Menurut Najwa yang mesra disapa Wawa, dia melahirkan anaknya secara pembedahan sekali gus perlu bersalin lebih awal daripada tarikh kelahiran sebenar.

“Sebenarnya tarikh kelahiran anak Wawa jatuh pada hari lain, tetapi sebab bersalin secara pembedahan, dia (bayi) perlu dilahirkan awal.

“Wawa ingat dia akan lahir pada 12 November sebenarnya bila saya dah dimasukkan ke wad. Tapi Alhamdulillah, rezeki dapat lahirkannya sama tarikh dengan ulang tahun perkahwinan Wawa dan Akwa.

“Anak pun dalam keadaan baik dan sihat, Alhamdulillah. Macam ibu yang lain, Wawa rasa bersyukur, lega dan gembira apabila dapat juga bergelar ibu tahun ini,” katanya kepada Harian Metro.

Najwa berkata, dia dan suami juga secara tidak langsung kini melalui satu pengalaman baharu sebagai ibu bapa selepas bersabar menunggu kehadiran cahaya mata selama tiga tahun.

Terdahulu, berita gembira yang memaklumkan Najwa selamat melahirkan cahaya mata pertama dikongsikan suaminya, Akwa Arifin dalam hantaran dimuat naik di Instagram (IG) miliknya.

Pada hantaran itu, Akwa turut memberitahu cahaya mata mereka dilahirkan bertepatan dengan tarikh istimewa 11 November 2025 yang juga ulang tahun ketiga perkahwinan pasangan ini.

Najwa atau nama sebenarnya, Imratul Najwa Abdul Latif mendirikan rumah tangga dengan Akwa di Batu Pahat, Johor pada 11 November 2022.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top