Cabaran Sifat Materialistik dalam kalangan Remaja Islam Kini

Petaling Jaya: Budaya sifat materialistik atau secara amnya disebut pengaruh kebendaan merupakan sebuah budaya yang perlu dibendung dalam kalangan masyarakat kini terutamanya terhadap golongan remaja. Sifat ini disebutkan sebagai sebuah kepercayaan yang mementingkan harta benda dan pemilikan sesuatu dalam kehidupan seseorang. Ini juga turut terjadi disebabkan pandangan sekeliling yang sering menilai setiap perkara yang dimiliki seseorang seperti tempat kediaman, kenderaan mahupun pakaian yang dipakai.

Perbuatan ini menjurus kepada sifat materialistik dimana seseorang tidak mahu dipandang rendah dengan apa yang dimilikinya sehingga sanggup menghabiskan wang yang banyak bahkan sehingga berhutang demi mendapatkan sesuatu yang menepati standard kehidupan pada masa kini. Isu ini amat merisaukan terutamanya kepada golongan remaja yang seharusnya mula membina kehidupan demi masa hadapan mereka namun terjerumus dalam kancah sosial ini sehingga mereka tidak mampu merancang masa depan dengan baik.

Terdapat pelbagai faktor yang mendorong kepada permasalahan ini antaranya adalah pengaruh media sosial. Media sosial adalah platform yang sering menyebabkan remaja mudah terpengaruh dengan barangan-barangan yang menjadi trend pada masa kini sehingga mereka terpaksa membelinya kerana takut dipandang rendah oleh rakan sekeliling disebabkan tidak memiliki barangan tersebut. Perkara ini tidak terhad kepada barangan, malah makanan juga menjadi isu utama sebagaimana yang dilihat kini, makanan-makanan yang terkenal di media sosial akan mula dibanjiri oleh orang ramai disebabkan tidak mahu terlepas merasa makanan tersebut.

Tidak dilupakan juga pempengaruh muda di media sosial yang sering mempamerkan gaya hidup mereka yang serba mewah menyebabkan masyarakat remaja kini mula untuk mengikuti jejak tersebut meskipun tidak mempunyai sumber kewangan tetap dan utuh. Ada yang berniat menunjukkannya sebagai sebuah motivasi buat golongan remaja untuk berusaha mencapai apa yang dicita-citakan oleh mereka namun tanggapan majoriti adalah sebaliknya sehingga mereka hanya berusaha untuk mendapatkan apa yang dimiliki oleh pempengaruh tersebut tanpa melihat kepada usaha untuk mencapainya.

Sifat materialistik dalam kalangan remaja juga boleh dikaitkan dengan sokongan daripada konsumerisme arus perdana yang berlaku pada masa kini. Pengiklanan yang sangat agresif terhadap sesuatu produk atau makanan menyebabkan muncul rasa ingin sesuatu tersebut sehingga menjurus mereka untuk membeli dan mencubanya sendiri. Kemudahan untuk membeli-belah secara atas talian juga membantu remaja untuk membeli sesuatu barangan dengan lebih efisien dengan hanya melalui aplikasi-aplikasi berkaitan.

Tambahan pula, wujudnya sistem pembayaran ‘beli dahulu, bayar kemudian’ yang mudah untuk didaftar oleh setiap individu menjadikan remaja semakin rambang mata untuk mendapatkan sesuatu yang mahal meskipun masih lagi tidak berkemampuan untuk membelinya secara tunai. Walaupun wujudnya had yang ditetapkan mengikut pendapatan dalam sistem ini, namun perkara ini tidak menghalang remaja untuk terus menggunakan sistem ini dalam membeli barangan yang diingininya selagi mana masih dibawah had yang ditetapkan tersebut.

Tidak dilupakan juga, sifat remaja yang menerapkan prinsip ‘self-reward’ dalam diri mereka juga menyebabkan punca wujudnya sikap materialistik dengan menghalalkan penghabisan wang mereka terhadap perkara yang diidamkan mereka sebagai sebuah ganjaran atas usaha mereka dalam sesuatu perkara. Prinsip ini tidak salah jika diaplikasikan dengan cara yang betul dan melihat kepada kemampuan diri dan kewangan masing-masing agar tidak berlaku pembaziran.

Implikasi terhadap sifat ini ialah mewujudkan masalah identiti dalam kalangan remaja. Seseorang itu akan dilihat daripada sudut kebendaan yang dimiliki olehnya seperti jenama yang diguna, populariti atau kemewahan yang dimiliki sedangkan dalam islam kita perlu menilai seseorang melalui ilmu dan adabnya yang menjadi personaliti terunggul seorang muslim.

Remaja islam kini juga akan lebih berasa tertekan dengan ekonomi dan emosi mereka disebabkan terlalu mengejar apa yang dimiliki orang lain dan tidak mahu dipandang kolot oleh masyarakat sekeliling. Sifat materialistik ini menyebabkan mereka terkesan dari sudut emosi kerana ingin menjaga air muka sendiri dihadapan orang ramai melalui kebendaan yang dimilikinya dan terjejas dari sudut ekonomi kerana banyak berbelanja terhadap perkara yang tidak diperlukan.

Kesimpulannya, islam tidak menghalang kita daripada hal duniawi tetapi mendidik kita agar seimbangkan hal akhirat dan dunia. Kita tidak ditegah daripada membeli atau makan apa yang kita ingini namun perkara tersebut hendaklah dilakukan demi diri sendiri dan tidak bersifat untuk mengikut-ikut orang lain, menunjuk-nunjuk dan bersifat riak. Islam merupakan agama yang bersifat wasatiah yang merupakan keadilan yang terbaik dimana melebihi tuntutan dikira sebagai melampau dan kurang daripada tuntutan dikira sebagai kecuaian.

Bersama kita mendidik diri kita untuk menjadi seorang yang mampu berfikir sebelum bertindak dalam mengutamakan sesuatu perkara dan tidak memandang kebendaan dalam segala aspek agar kita terhindar daripada sifat cintakan dunia yang merupakan penyakit akhir zaman sehingga melalaikan kita daripada mengejar akhirat. Wallahua’lam.

 

Oleh: Ungku Muhammad Fathul Nuaim Bin Ungku Mohd Fadil
Jabatan Usuluddin dan Dakwah
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Scroll to Top