Valletta, Malta: Piotr Zielinski menjaringkan gol lewat permainan untuk membantu Poland menang 3-2 di tempat lawan menentang Malta, awal pagi tadi namun tidak cukup untuk merebut tempat teratas dalam kumpulan kelayakan Piala Dunia.
Poland terpaksa berpuas hati dengan tempat di playoff untuk pusingan akhir tahun hadapan selepas menang di Stadium Nasional Ta’Qali yang membolehkan mereka meraih 17 mata dalam Kumpulan G.
Kedudukan di tempat kedua memberi mereka peluang untuk merebut tiket ke Amerika Utara melalui playoff pada Mac.
Belanda layak secara langsung selepas menamatkan saingan di tangga teratas dengan 20 mata apabila membelasah Lithuania 4-0 manakala Malta pula menamatkan kempen di tempat keempat dengan lima mata.
“Pada separuh masa pertama, kami bermain terlalu statik, bukan sahaja dalam pertahanan tetapi juga serangan,” kata kapten Poland, Robert Lewandowski.
“Kami menggerakkan bola terlalu perlahan dan langsung tidak dapat masuk ke dalam permainan. Kami memberi terlalu banyak ruang kepada lawan. Banyak perkara tidak menjadi. Ia bukan permainan standard kami, tetapi kami tetap menang.”
Poland memecah kebuntuan pada minit ke-31 apabila Lewandowski melompat tanpa kawalan dalam kotak penalti untuk menyambut hantaran silang Zielinski sebelum menanduk masuk ke penjuru gol.
Malta menyamakan kedudukan empat minit kemudian, menghukum kegagalan penjaga gol Bartłomiej Drągowski membuat rembatan keluar apabila Irvin Cardona bertindak paling pantas dari jarak dekat untuk menolak bola masuk.
Poland kembali di hadapan pada minit ke-59 apabila terjahan Kurt Shaw ke atas Lewandowski secara tidak sengaja mengalihkan bola ke arah Pawel Wszolek, yang merembat masuk untuk menjaringkan gol antarabangsa pertamanya dalam hampir 10 tahun.
Pelawat kelihatan menggandakan kelebihan apabila Karol Swiderski menyudahkan satu serangan balas pantas, tetapi VAR membatalkannya kerana Jakub Kiwior melakukan kekasaran ke atas Cardona di dalam kotak penalti di kawasan bertentangan.
Gol itu dibatalkan dan penalti diberikan kepada Malta, dengan Teddy Teuma memperdayakan Drągowski untuk menyamakan kedudukan sekali lagi pada minit ke-68.
Zielinski memastikan kemenangan lima minit sebelum tamat perlawanan apabila melepaskan rembatan rendah dari jarak jauh yang terkena pertahanan lawan sebelum masuk ke gawang.
“Saya harap tiada yang akan kurang dalam playoff nanti dan semoga nasib menyebelahi kami dalam undian,” tambah Lewandowski, 37 tahun. “Saya berharap pada Mac nanti kita akan meraikan kelayakan ke Piala Dunia.”
Kejohanan itu akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico dari 11 Jun hingga 19 Julai 2026.
© New Straits Times Press (M) Bhd




