Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, YB Haji Muhammad Sanusi Md Nor telah menawarkan kepada sesiapa sahaja untuk membida sebuah kereta kesayangan beliau demi memungut dana bagi disalurkan kepada Palestin menerusi Facebook.
Muhammad Sanusi juga kerap berkongsi perkembangan bidaan dan memaklumkan jumlah tertinggi yang ditawarkan di media sosial untuk tatapan rakyat Malaysia.
Selepas beberapa hari, akhirnya beliau memberitahu kereta jenis Vilvo XC60 3.0 cc AWD T6 (2010) miliknya telah dibida dengan harga RM150,000 oleh Ustaz Mohammad Yaakob Yusra.
Dalam pada itu, Ustaz Muhammad Yaakob Yusra turut berkongsi ‘perjuangannya’ untuk membida kereta tersebut dari MB Kedah.
Menurutnya, beliau tekad untuk mendapatkan kereta tersebut walau berapa pun harga bidaan yang ditawarkan.
Dengan izin Allah akhirnya kereta itu dapat dibidanya dan akan dibawa ke Sungai Petani.
Beliau juga menyatakan bahawa kenderaan tersebut akan diwakafkan dan akan digunakan bagi tujuan dakwah pada masa akan datang.
Selain itu, Ustaz Yaakob juga menegaskan bahawa wang bidaan yang diberi secara transfer kepada MB Kedah itu bukanlah hasil dari sumbangan.
Beliau juga memberitahu RM150,000 itu akan disalurkan ke Palestin seperti dinyatakan oleh MB Kedah sebelum ini.
Sehubungan dengan perkongsian tersebut, rata-rata warganet telah memuji tindakan murni dalam memastikan saudara-saudara seagama kita di bantu.
Rasanya sebarang kenyataan berunsur politik tidak perlu dibangkitkan kerana semua pihak mempunyai cara tersendiri dalam memberikan sumbangan dan bantuan demi memastikan nasib penduduk di Semenanjung Gaza terus terbela.




