harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang dihanyutkan kepala air di Sungai Klang, berhampiran Pintasan Saloma di sini, akan disambung semula 10 pagi esok.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur (PGOKL) dalam kenyataan berkata, operasi SAR yang masuk hari kedua bermula 9.30 pagi dijalankan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air serta menggunakan dron bagi melakukan tinjauan udara.
“Pasukan penyelamat membuat pencarian dengan menyusuri sepanjang Sungai Klang menghala ke arah Puchong dengan jarak yang dianggarkan adalah sejauh 20 kilometer (KM).
“Operasi pencarian (hari ini) membabitkan sebanyak empat sektor iaitu 5KM setiap satu sektor menggunakan kayak dan bot,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bomba menjalankan SAR di sektor 2 dan 4 manakala skuad Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sektor 1 dan Angkatan Pertahanan Awam sektor 3.
PGOKL berkata, operasi turut diperluaskan dengan bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dan BBP Subang Jaya yang membuat pencarian sekitar sungai di Seksyen 24, Shah Alam.
Pencarian turut dilakukan bermula di Plaza Tol Lebuhraya Shah Alam (KESAS) sehingga Kampung Sungai Baru Puchong dan disambung oleh BBP Puchong sehingga ke perangkap sampah Kampung Sungai Aman.
Keadaan cuaca yang baik pada sebelah petang membantu pasukan penyelamat menjalankan operasi SAR.
“Namun sehingga 7.30 petang masih tiada penemuan, jadi operasi ditangguhkan dan akan disambung semula pada 10 pagi esok,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




