Cadangan 'tutup' Penang FC panaskan sidang DUN Pulau Pinang

Cadangan 'tutup' Penang FC panaskan sidang DUN Pulau Pinang

sukan@hmetro.com.my

Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang menegaskan komitmen untuk terus memberi sokongan terhadap pembangunan skuad bola sepak negeri, Penang FC meskipun mengakui pasukan itu belum mencapai prestasi diharapkan dengan hanya satu kemenangan daripada lapan perlawanan Liga Super setakat ini.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, beberapa langkah penstrukturan pemain sedang dilaksanakan secara profesional bagi memperbaiki kedudukan pasukan sekali gus memastikan pasukan kekal berdaya saing.

“Beberapa penambahbaikan dalaman turut sedang dilaksanakan bagi memastikan pengurusan pemain dan pasukan lebih efisien, telus dan berorientasikan prestasi.

“Langkah itu termasuk membabitkan pemain import dari Malawi, Limbikani Oscar Mzava yang bersetuju dilepaskan sejak Julai lalu dan posisinya telah diganti pemain dari Filipina, OJ Porteria.

“Berhubung prestasi pemain import dari Korea Selatan, Lim Inkyu, pihak pengurusan masih memberikan ruang dan tempoh sewajarnya supaya dia mencapai tahap kecergasan optimum seperti ditetapkan pasukan,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini.

Gooi (DAP-Padang Lalang) berpendapat cadangan menutup Penang FC, seperti dibangkitkan Goh Choon Aik (PKR-Bukit Tambun) adalah isu serius dan boleh mengakibatkan implikasi besar termasuk kemungkinan dikenakan denda berat oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

“Penutupan Penang FC bukan sahaja akan menyebabkan kehilangan status pasukan negeri yang menjadi kebanggaan rakyat Pulau Pinang malah menjejaskan perkembangan bakat muda, ekosistem bola sepak negeri dan imej sukan Pulau Pinang secara keseluruhan,” katanya.

Terdahulu, Choon Aik berkata, pemberian geran tahunan sebanyak RM8 juta kepada Penang FC hampir menyamai kos persiapan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dengan kerajaan negeri turut menerima tempias kritikan penyokong disebabkan prestasi pasukan yang kurang memberangsangkan.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Muhammad Fauzi Yusoff (PN-Sungai Dua) turut menyindir sama ada pemain import yang tidak mencapai prestasi dipilih melalui aplikasi Shopee dan menggesa rombakan pengurusan Penang FC dilakukan dalam usaha meletakkan pasukan pada tahap lebih baik.

Gooi yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Penang FC menjelaskan, sejak 2022 terdapat beberapa syarikat antarabangsa yang telah menyatakan minat untuk membuat pelaburan dan membeli hak milik pasukan bola sepak itu namun semakan teliti mendapati syarikat terlibat tidak memenuhi piawaian ditetapkan.

“Peruntukan dan sokongan kerajaan kepada Penang FC bukanlah satu kos semata-mata tetapi satu pelaburan jangka panjang terhadap perpaduan rakyat, pembangunan bakat tempatan, kestabilan industri sukan dan ekonomi negeri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top