Bergaduh kerana cemburu bekas teman wanita bersama orang lain

Bergaduh kerana cemburu bekas teman wanita bersama orang lain

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dua lelaki parah dipukul sekumpulan lelaki dalam pergaduhan di hadapan pusat hiburan di Jalan Radin Tengah, Sri Petaling di sini, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, siasatan mendapati pergaduhan tercetus akibat cemburu bekas teman wanita ‘dikebas’ orang lain.

“Polis menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada 3.40 pagi, yang mana dua mangsa lelaki tempatan cedera parah akibat dipukul sekumpulan lelaki.

“Mangsa dipukul menggunakan objek tajam dan batang besi sebelum suspek melarikan diri menaiki kenderaan yang diletakkan di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hoo berkata, mangsa pertama mengalami kecederaan pada tangan kanan, belakang badan dan kaki kanan, manakala mangsa kedua cedera di bahagian kepala akibat dipukul dengan objek tajam.

Katanya, mereka kini dalam keadaan stabil selepas dirawat di Hospital Ampang.

Menurutnya, susulan itu Bahagian Siasatan Jenayah Brickfields berjaya menahan lima lelaki berusia 17 hingga 20 tahun dan merampas batang besi disyaki digunakan sebagai senjata dalam kejadian itu.

“Semakan rekod ke atas kesemua suspek didapati salah seorang daripadanya mempunyai dua rekod jenayah kekerasan yang disiasat di bawah Seksyen 323 dan 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan saki baki suspek bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 326/148 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top