mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta dua gergasi Liga Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC dikenakan denda oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) susulan pelanggaran peraturan pertandingan membabitkan aksi kelayakan Piala Asia 2027, Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).
Dalam keputusan yang dikeluarkan Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC, FAM dikenakan denda USD1,875 (RM7,788) selepas didapati melanggar Perkara 2.2 Manual Operasi Pertandingan ketika perlawanan menentang Laos di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 14 Oktober lalu.
Menurut AFC, wakil FAM menyebabkan kelewatan memulakan separuh masa kedua selama dua minit dan 30 saat.
“Hukuman denda ini perlu diselesaikan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan dimaklumkan selaras Perkara 11.3 Kod Tatatertib dan Etika AFC,” menurut kenyataan itu.
JDT turut menerima hukuman dengan denda USD5,000 (RM20,783) selepas gagal menyediakan ‘Clean Stadium’ di tapak latihan rasmi sebelum aksi ACLE menentang Machida Zelvia, 30 September lalu.
Juara Liga Super 11 musim berturut-turut itu diberi tempoh 30 hari untuk menyelesaikan bayaran denda berkenaan.
Selangor FC pula dikenakan denda USD1,250 (RM5,195) selepas wakil pasukan menyebabkan kelewatan sepak mula separuh masa kedua selama satu minit dan 20 saat ketika aksi ACL2 menentang Persib Bandung pada 23 Oktober.
Sama seperti JDT, Selangor turut diberikan tempoh 30 hari untuk melunaskan hukuman denda itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




