am@hmetro.com.my
Teluk Bahang: “Ibu reda kalau Rizki nak pergi, jika ia dapat hilangkan kesakitan mu,” bisik Noridayu Azih, 43, di telinga anaknya, Muhammad Izz Ar Rizki Mohd Zaki, 5, kanak-kanak penghidap penyakit Mucolipidosis tahap dua sejak lahir yang menghembuskan nafas terakhir 6.20 pagi semalam.
Noridayu berkata, Muhammad Izz Ar Rizki sebelum ini dimasukkan ke wad di Hospital Pulau Pinang (HPP) berikutan mengalami batuk disusuli demam tidak menentu.
Katanya, ketika menerima rawatan, doktor mengesahkan anak bongsu daripada empat beradik itu mengalami komplikasi jantung dan masalah jangkitan kuman pada paru-paru.
“Sebelum tenat pada awal pagi semalam, Muhammad Izz Ar Rizki sempat melempar senyuman yang tidak akan saya lupakan seolah-olah mahu beritahu kesakitannya bakal berakhir.
“Dia meninggal dunia di HPP selepas hampir dua minggu dimasukkan ke wad.
“Walaupun sepanjang hayatnya menanggung kesakitan, anak saya sangat mudah dijaga malah ketika dia sihat, tidak pernah dia meragam sehingga menyukarkan saya atau tiga lagi adik beradiknya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kisah Rizki sebelum ini disiar Harian Metro selepas ditemui di Program Kembara Komuniti Masjid Titipan Kasih Harian Metro bersama McDonald’s Malaysia di Masjid Jamek Teluk Bahang, Oktober tahun lalu.
Penyakit yang dihidapi sejak lahir itu menyebabkan dia kerap diserang sawan sekurang-kurangnya tiga kali dalam sehari dan perlukan pengawasan sepanjang masa.
Kehidupan keluarga Noridayu terus teruji apabila dimaklumkan doktor bahawa hayat kanak-kanak itu mungkin tidak lama berikutan injap jantungnya yang semakin sempit dan nafas boleh berhenti pada bila-bila masa.
Noridayu berkata, jenazah Muhammad Izz Ar Rizki disemadikan di kampung halaman suaminya di Tanah Merah, Kelantan, petang semalam.
Katanya, perasaannya hiba apabila tiga anaknya meminta dibawa ke pusara Muhammad Izz Ar Rizki kerana rindukan adiknya.
“Sepanjang lima tahun hampir setiap hari, saya dan adik beradiknya juga tidak pernah berenggang dengan Muhammad Izz Ar Rizki.
“Mungkin kerana itu mereka rindu dan minta dibawa ke pusara adiknya sejurus bangun tidur pagi tadi,” katanya lagi.
Menurut Noridayu, Muhammad Izz Ar Rizki sebelum ini menggunakan mesin bantuan pernafasan (BiPaP) selain dua lagi peralatan iaitu mesin penyedut kahak dan tangki oksigen.
“Saya bercadang mahu beri peralatan itu kepada pesakit kanak-kanak yang memerlukan, bagi kegunaan mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




