syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pelakon, Mimi Lana menafikan bahawa dirinya kini berbadan dua seperti mana andaian yang dibuat orang ramai selepas dia memuat naik hantaran di media sosial dengan keterangan (caption) ‘Mom & Dad’, baru-baru ini.
Mimi ketika ditemui di majlis pengumuman pemenang kempen Cinta Merah Biru Ke Desaru anjuran Petron Malaysia, hari ini, berkata, itu adalah sekadar trend yang kini popular dalam kalangan pasangan suami isteri di media sosial.
“Tak adalah (hamil). Itu kan macam trend di media sosial, yang mana kalau pasangan muat naik gambar, mereka akan tulis ‘Mom and Dad’.
“Tapi, waktu saya tulis itu, Syafiq dah ingatkan dah, ‘Kalau you tulis begitu, mesti orang akan ingat you ada apa-apa (hamil)’.
“Tapi, saya anggap tak ada apa-apa pun dan muat naik saja. Tapi, memang betul, tak ada apa-apa,” katanya kepada Harian Metro.
Mimi, 31, bagaimanapun meluahkan rasa berbesar hati kerana ramai yang mendoakan agar dia dan suami yang juga pelakon, Syafiq Kyle dikurniakan cahaya mata.
“Alhamdulillah, saya gembira bila ada yang mendoakan. Selagi orang doakan kita, maksudnya, rezeki itu Insya-Allah akan ada dan ada harapanlah untuk kita, kan,” katanya.
Ditanya sama ada dia menjalani rawatan alternatif untuk mendapatkan cahaya mata, Mimi menegaskan bahawa perkara itu terlalu peribadi.
“Kalau ada cuba pun, saya tak kongsikan dengan orang. Saya takkan kongsikan dengan orang. Saya rasa, ada benda yang saya kena simpan sendiri dan tak perlu dikongsikan.
“Tapi, kalau sudah tiba masanya, mestilah saya akan kongsikan juga (berita kehamilan) sebab saya tak boleh nak sorokkan pun,” katanya.
Sementara itu, Syafiq juga meluahkan rasa gembira atas doa-doa dan ucapan positif netizen untuk kesejahteraan rumah tangga mereka.
“Bila orang doakan kita, kita akan ingat benda-benda yang baik sahajalah kan. Insya-Allah, usaha akan diteruskan. Yang penting, hati kita gembira dengan segala doa mereka,” katanya.
Terbaharu, Mimi dan Syafiq akan bercuti bersama tiga pemenang kempen Cinta Merah Biru ke Desaru selama tiga hari dua malam di Anantara Desaru Coast Resort & Villas, Johor.
“Kami akan ‘roadtrip’ bersama mereka dan melakukan beberapa aktiviti yang sudah dirancang bagi mengisi jadual percutian ini. Paling dinantikan adalah sarapan sambil melihat matahari terbit,” kata Syafiq.
© New Straits Times Press (M) Bhd




