MAIS adakan pertemuan dengan AJK Surau Taman Seraya susulan isu tular

MAIS adakan pertemuan dengan AJK Surau Taman Seraya susulan isu tular

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengadakan perjumpaan dan sesi dialog bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) Surau Taman Seraya, Ampang untuk meninjau status pengoperasian surau berkenaan secara dekat.

MAIS menerusi kenyataan memaklumkan, pertemuan itu susulan beberapa aduan yang tular di media sosial baru-baru ini.

Katanya, hasil taklimat oleh AJK surau berkenaan, didapati seorang individu membangkitkan bantahan terhadap aktiviti pengimarahan yang dijalankan.

“Susulan itu, laporan polis juga dibuat AJK surau dan setakat ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan dengan menahan individu yang mencetuskan provokasi berkenaan.

“MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerahkan sepenuhnya proses siasatan lanjut kepada PDRM,” katanya dalam kenyataan itu, hari ini.

Menerusi kenyataan itu, Pengerusi MAIS juga mengingatkan setiap aduan berkaitan masjid dan surau ini perlulah melalui saluran yang betul sama ada melalui Pejabat Agama Islam Daerah (PAID), JAIS atau MAIS agar tindakan sewajarnya boleh diambil.

Turut hadir dalam pertemuan berkenaan adalah Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad; Setiausaha MAIS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini dan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid serta agensi dan badan-badan NGOI yang berkaitan. Terdahulu, media melaporkan, tidak puas hati dengan kesesakan lalu lintas ketika solat Jumaat di Surau Taman Seraya, Ampang antara kemungkinan motif disiasat polis dalam kes pihak membuat bantahan terhadap pengurusan surau itu membabitkan azan, solat berjemaah dan penggunaan ruang luar surau.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata setakat ini, suspek berusia 46 tahun masih dalam reman dan siasatan awal mendapati tindakannya lebih bersifat individu tanpa membabitkan pengaruh luar, selain lebih tertumpu kepada rasa tidak puas hati kerana isu kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top