am@hmetro.com.my
Kunak: Pembangunan Kunak kini memasuki fasa lebih pesat dengan pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur, kemudahan awam dan pertumbuhan sektor komersial yang semakin rancak, sekali gus memberi limpahan ekonomi secara langsung kepada penduduk setempat.
Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi DUN Kunak, Datuk Norazlinah Arif, berkata pertumbuhan itu dapat dilihat melalui kewujudan kawasan komersil baharu termasuk pasar raya besar serta kawasan perniagaan rakyat yang semakin menjadi tumpuan.
Menurutnya, ruang perniagaan malam berkonsep terbuka (uptown) dan kawasan perniagaan jalanan (street town) yang sarat dengan aktiviti usahawan kecil serta gerai makanan dan produk tempatan semakin meriah dan mendapat sambutan menggalakkan penduduk dari dalam dan luar daerah Kunak.
“Perkembangan pesat ini bukan sahaja memeriahkan suasana ekonomi setempat, malah menyediakan lebih banyak peluang kepada peniaga menjana pendapatan selain peluang pekerjaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Norazlinah berkata projek pembangunan berskala besar iaitu ‘Bandar Baharu Kunak’ yang menjalani dilancarkan pada 31 Julai lalu merupakan antara pemangkin utama transformasi ekonomi daerah itu.
Beliau berkata bandar baharu itu bakal menjadi mercu tanda moden daerah Kunak dengan pelbagai fasiliti termasuk perumahan, pusat beli-belah, hentian bas bersepadu serta kemudahan komersial lain yang mampu meningkatkan daya tarikan dan aktiviti ekonomi setempat.
“Bandar Baharu Kunak apabila siap kelak akan merancakkan lagi kegiatan ekonomi dan menjadikan pekan Kunak lebih hebat serta berdaya saing.
“Selain itu, projek pembinaan jajaran Lebuh Raya Pan Borneo yang sedang berjalan turut dijangka memberi limpahan ekonomi melalui akses lebih baik, peningkatan aktiviti logistik dan peluang perniagaan baharu di sepanjang laluan itu,” katanya
Norazlinah berkata semua inisiatif pembangunan yang sedang berjalan di Kunak tidak akan dapat direalisasikan tanpa kesungguhan kerajaan negeri GRS yang konsisten memfokuskan pembangunan luar bandar serta mempercepatkan pelaksanaan projek strategik di daerah itu.
Menurutnya lagi, komitmen kerajaan negeri yang stabil dan berfungsi membolehkan pelbagai perancangan besar yang tertangguh sebelum ini akhirnya dapat digerakkan secara menyeluruh.
“Semua limpahan pembangunan ini dapat dinikmati rakyat kerana kerajaan GRS merancang, meluluskan dan melaksanakan projek secara teratur menjadikan Kunak berada di landasan pertumbuhan yang lebih kukuh dan mampan,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai perjalanan kempennya, Norazlinah memaklumkan bahawa sepanjang tujuh hari berkempen, beliau telah menyantuni hampir keseluruhan penduduk Kunak menerusi jentera yang bergerak secara konsisten setiap hari, termasuk penganjuran program ‘Himpunan Mega Anak Kunak’ di pelbagai lokasi.
“Alhamdulillah, sokongan dan sambutan yang diterima daripada penduduk amat memberangsangkan, dan ia memberikan semangat baharu untuk terus bekerja demi Kunak,” katanya yang berdepan saingan enam penjuru pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah kali ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




