Calon GRS Sungai Sibuga nafi dakwaan 300 ahli keluar parti, sokong BN

Calon GRS Sungai Sibuga nafi dakwaan 300 ahli keluar parti, sokong BN

Sandakan: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga, Datuk Amirshah Yaakub menafikan dakwaan 300 ahli dan pemimpin daripada bahagian itu keluar parti untuk menyertai Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, ia sebaliknya hanya membabitkan segelintir ahli yang mungkin berasa kecewa dan tindakan itu tidak menggambarkan keadaan keseluruhan dalam parti.

Katanya, ia perkara yang biasa berlaku apabila pilihan raya dan baginya situasi itu tidak perlu diperbesarkan.

“Laporan tidak tepat. Mungkin hanya satu, dua individu yang berasa kecewa. Bagi kami, itu perkara biasa… yang penting ialah semangat perpaduan dan silaturahim terus dijaga.

“Ramai sahabat dari parti lain yang masuk (dalam GRS), tetapi tidak perlu kita hebohkan. Sama ada dari Parti Warisan, UMNO atau parti lain, mereka adalah sahabat kita,” katanya ditemui pada Program Ziarah Kasih Bersama Pemimpin di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Merpati, di Taman Merpati, hari ini.

Semalam, akhbar melaporkan seramai 300 pemimpin dan ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) bertindak keluar parti dan mengumumkan sokongan terhadap calon BN pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Timbalan Ketua Bahagian Libaran yang juga Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sungai Sibuga, Emran Elan memaklumkan untuk menyokong calon BN di kerusi DUN Sungai Sibuga, Datuk Suhaimi Nasir selepas hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan parti.

Mengenai kempen yang sudah seminggu berlangsung, Amirshah berkata, dia menerima sambutan menggalakkan daripada masyarakat yang menunjukkan keyakinan tinggi terhadap kepimpinan parti terutama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Jika diberi mandat pada PRN itu, katanya, beliau mahu menumpukan terhadap usaha memperbaiki infrastruktur asas terutama kawasan yang sering dinaiki banjir, selain jalan raya rosak dan bekalan elektrik yang menjadi rungutan penduduk.

“Alhamdulillah, penduduk menerima baik kehadiran kita. Mereka faham hala tuju kerajaan GRS dan yakin dengan kepimpinan yang membawa banyak pembangunan,” katanya.

Pada PRN ini, Amirshah berdepan saingan lima penjuru membabitkan Suhaimi, Ismail Md Said dari Parti Impian Sabah (PIS), Nurulalsah Hassan Alban (WARISAN) dan Norani Asmatil (PN).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top