Tokyo: Kejayaan Malaysia memenangi pingat emas pertama pada Deaflympics 2025 bukan disebabkan oleh nasib semata-mata tetapi hasil kerja keras, disiplin tinggi dan kekuatan mental pasangan boling lelaki negara yang tampil cemerlang pada saat genting di Higashiyamato Grand Bowl semalam.
Ketua Jurulatih Boling Pekak Kebangsaan Joe Tay berkata beliau sentiasa mengingatkan Syabil Azam Syamsul Azam dan Ho Choon Seong supaya kekal tenang ketika bertemu Ukraine.
“Kejayaan ini adalah sepenuhnya milik pemain. Mereka berjaya kerana mereka mematuhi setiap arahan dengan memberikan komitmen penuh. Semua orang dalam keadaan tegang dan tekanannya tidak terkata. Dari belakang, saya hanya terus memberitahu mereka supaya tenang, tenang, tenang.
“Orang mungkin tidak perasan betapa gementarnya mereka tetapi saya dapat melihatnya melalui lontaran yang dilakukan. Namun, mereka tetap berpegang pada perancangan dan ia membuahkan hasil yang sangat baik,” katanya kepada Bernama semalam.
Joe berkata walaupun emas itu satu ganjaran besar, misi mereka masih belum selesai dengan acara berpasukan lelaki pada Ahad kekal sebagai antara sasaran utama Malaysia.
Terdahulu, Syabil dan Choon Seong mempamerkan aksi berani, tenang dan sangat bertenaga sehingga berjaya mengejutkan Ukraine 2-1, sekali gus menghidupkan semula peluang Malaysia pada temasya itu.
Dengan harapan negara diletakkan di bahu mereka, pasangan Malaysia itu tampil berjiwa kental dan mencatatkan mata mengagumkan iaitu 243, 181 dan 226 untuk menewaskan Danyliuk Vadym–Ialovega Vladyslav.
Acara beregu lelaki tidak pernah menjadi sasaran emas Malaysia namun kemenangan bersejarah pasangan itu kini membolehkan kontinjen negara semakin hampir kepada sasaran tiga emas yang ditetapkan Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf).
Sebelum ini, MSDeaf hanya meletakkan sasaran pingat dalam tiga acara iaitu badminton beregu wanita dan beregu campuran selain boling berpasukan lelaki.
Setakat ini, badminton telah menghadiahkan satu gangsa dalam acara beregu campuran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




