lizamridzuan@hmetro.com.my
Gabungan ketelitian seorang tukang mahir Holland & Holland dengan kehebatan Range Rover kini membuahkan hasil melalui Holland & Holland Edition oleh Overfinch.
Kenderaan utiliti sukan (SUV) ini bukan sekadar kenderaan, ia adalah karya seni bergerak, di mana setiap lekuk, kemasan dan perincian memancarkan keanggunan British dan ia terhad kepada 25 unit di seluruh dunia sebagai simbol prestij, warisan dan eksklusiviti.
Model ini direka khas untuk pengumpul dan penggemar aktiviti menembak yang menghargai prestasi, seni dan eksklusiviti serta inspirasi reka bentuk datang daripada senapang flagship Holland & Holland ‘Royal’ Side by Side’, digabungkan dengan platform Range Rover SV bagi memastikan prestasi dan kemewahan tanpa kompromi.
Bahagian luar kereta memukau dengan warna British Racing Green yang mendalam dan elegan, gril ‘dual-finish’, kisi-kisi terperinci dan ‘lettering bespoke Overfinch’ pada bonet menambah karakter unik pada bahagian hadapan.
Profil sisi menonjol dengan rim aloi bersaiz 23 inci eksklusif, lengkap dengan penutup berjenama H&H serta ventilasi aluminium pada sisi turut diukir dengan ‘Royal scroll’, mengelilingi ingot buatan tangan yang memaparkan emblem kedua-dua jenama.
Bahagian belakang menampilkan ‘light bar’ penuh lebar yang menyepadukan logo Overfinch dengan hiasan pintu belakang bawah dwi-kemasan (dual-finish), memberikan penampilan yang berani, elegan dan sofistikated dari setiap sudut.?
Ruang dalaman menonjol sebagai puncak kemahiran tangan dan kemewahan halus seperti elemen besi bertekstur tinggi dihiasi ‘Royal scroll’, manakala lapisan kayu ‘French’ walnut berpori terbuka mempamerkan keindahan semula jadi kayu, menyerupai tekstur pada senapang mewah.
Tahap perincian dalam kabin luar biasa, terutama pada panel pintu yang menggunakan sisipan kayu walnut dengan ukiran ‘forend’ buatan tangan iaitu corak ukiran halus yang biasanya ditemui pada bahagian hadapan senapang mewah Holland & Holland.
Rekaan ini diserikan lagi dengan plak besi yang menampilkan ukiran hiasan ‘Royal’, menampakkan gabungan seni pertukangan tradisi dengan kemewahan moden
Kerusi pula dibalut kulit ‘Bridge of Weir’ yang terkenal dengan tekstur lembut dan ketahanannya serta jahitan halus serta ‘micro piping’ kontras memberikan karakter eksklusif, manakala sulaman corak berinspirasikan sukan menembak melengkapkan identiti istimewa edisi ini, bersama monogram khusus yang menambah sentuhan personal.
Pelanggan boleh menempah dua ‘Companion Chests’ yang menakjubkan di bahagian belakang dengan ‘upper chest’ direka untuk menjamu tetamu sehingga lapan orang, menempatkan laci yang mengandungi aksesori Holland & Holland termasuk gelas kristal halus, ‘corkscrew’ tanduk rusa, penutup botol perak, pinggan mangkuk halus serta set alat makan lengkap berjenama H&H.
‘Lower chest’ pula direka untuk penggemar senapang, menyediakan ruang selamat untuk menyimpan dua senapang di bawah sisipan lapisan kayu walnut beralur serta bahagian belakang laci diperuntukkan untuk minuman eksklusif, disusun secara kreatif menyerupai peluru senapang, lengkap dengan lapan gelas, dua ‘decanter’ dan dua ‘hip flask pewter’ bersaiz besar.
Pelanggan boleh memilih daripada tiga warna dalaman eksklusif, termasuk kombinasi London Tan dan Harris Green untuk menyerlahkan karakter ‘sporty’ kereta ini dan Ketua Pereka Overfinch, Greg Shilton, berkata’ edisi ini menawarkan ‘pengalaman yang benar-benar unik, di mana setiap perincian memancarkan seni dan keunggulan’.
Harga ditentukan mengikut spesifikasi dan tahap personalisasi kerana setiap kereta dihasilkan mengikut pesanan.
Holland & Holland Edition oleh Overfinch adalah gabungan jarang dan luar biasa antara seni, kejuruteraan British dan warisan berterusan, meningkatkan tahap kemewahan kenderaan ke tahap yang tiada tandingan.
Edisi ini tersedia sama ada sebagai kenderaan lengkap atau sebagai penukaran untuk model Range Rover baharu, menyatukan semangat tradisi sukan dengan kehadiran Range Rover SV moden.
© New Straits Times Press (M) Bhd




