Kedudukan Nazifuddin bersama MOM tak terjejas

Kedudukan Nazifuddin bersama MOM tak terjejas

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib akan terus menjalankan tugas seperti biasa di organisasi berkenaan meskipun terpalit dengan isu muflis.

Perkara itu disahkan Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang turut mahu Nazifuddin terus fokus kepada persiapan Sukan Olimpik Tokyo yang dijadual berlangsung 23 Julai hingga Ogos ini.

“Sayasudah berbincang dengan beliau, lagi pun beliau masih lagi mempunyai proses rayuan,” katanya mengulas mengenai Nazifuddin yang menerima notis muflis daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kelmarin selepas gagal melunaskan cukai pendapatan RM37.6 juta seperti diputuskan Mahkamah Tinggi Julai lalu.

“Saya memintanya untuk fokus kepada Sukan Olimpik Tokyo dan buat masa ini, segala tugasannya, tidak terjejas,” kata Norza sambil mahu semua pihak supaya terlebih dulu menunggu keputusan rayuan berkenaan.

Peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Mohd Nazifuddin berkata, notis berkenaan diserahkan kepada anak guamnya pada 30 April lalu dan pihaknya memfailkan afidavit membantah notis kebankrapan itu pada 6 Mei lalu.

Mengikut dokumen difailkan di mahkamah, kerajaan melalui LHDN memfailkan notis itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 4 Februari lalu terhadap Nazifuddin, 38, selaku penghutang, hari yang sama notis kebankrapan difailkan terhadap bapanya, Datuk Seri Najib Razak.

Berdasarkan notis berkenaan, Nazifuddin perlu membayar RM37.6 juta dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 6 Julai 2020 (tarikh keputusan Mahkamah Tinggi) sehingga 4 Februari 2021 iaitu RM1.1 juta serta kos RM10,000 dan setakat tarikh itu, jumlah berkenaan menjadi RM38,758,370.93.

Nazifuddin memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Mahkamah Rayuan yang menetapkan 9 Ogos ini untuk mendengar rayuannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top