am@hmetro.com.my
FILEM animasi terbaharu, A Mighty Adventure bukan sekadar hiburan sebaliknya sebuah naskhah yang mengangkat keberanian dan impian zaman kanak-kanak melalui penceritaan visual memukau.
Projek filem mega ini membabitkan kerjasama Fly Studio (Malaysia), Anima Vitae (Malaysia/Finland), Zero One Film (Taiwan), ACE Integrated, Roundbox (Indonesia) dan CES Image (Taiwan).
Mendapat sokongan daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), filem ini juga menyasarkan kualiti setaraf antarabangsa dengan bajet anggaran mencecah RM20 juta.
Penerbit filem dan pengasas Fly Studio, Wee Meng Hee berkata, A Mighty Adventure bukan mengejar kecanggihan teknologi semata-mata sebaliknya ia memaparkan mengenai jiwa.
Menurutnya, proses pembikinan filem animasi itu sudah siap sebanyak 95 peratus dan kini melalui fasa akhir reka bentuk bunyi.
“Tanpa menggunakan sebarang dialog, A Mighty Adventure mempertaruhkan kekuatan bahasa badan dan emosi untuk menyampaikan kisahnya.
“Konsep tanpa dialog ini sengaja dipilih untuk membolehkan filem ini dinikmati oleh penonton dari pelbagai latar belakang budaya, bahasa dan usia serta menjadikannya sebuah kisah keluarga yang benar-benar sejagat.
“Filem ini dijadualkan untuk tayangan di peringkat global pada suku pertama tahun depan,” katanya.
Naskhah ini mendapat sentuhan pengarah animasi terkenal dari Hong Kong iaitu Toe Yuen yang pernah memenangi anugerah di Festival Animasi Antarabangsa Annecy dan Anugerah Golden Horse.
Terkenal dengan karya klasik yang menyentuh hati seperti My Life as McDull dan CJ7: The Cartoon, kali ini, Toe Yuen membawa visi untuk menggabungkan animasi CG yang halus dengan sinematografi aksi sebenar (live-action).
Kualiti produksi filem ini turut mendapat pengiktirafan awal yang membanggakan apabila mendapat tiga pencalonan utama untuk Anugerah Golden Horse 2026 iaitu bagi kategori Filem Animasi Terbaik, Reka Bentuk Bunyi Terbaik dan Kesan Visual Terbaik.
Naratif filem ini berpusat kepada tiga sahabat kecil yang berjiwa besar iaitu seekor Mini si belalang, Sipidier si labah-labah dan Butty si rama-rama.
Kehidupan mereka berubah apabila secara tidak sengaja terperangkap di puncak sebuah bangunan pencakar langit di tengah kesibukan kota.
Apa yang menyusul adalah sebuah perjalanan epik ‘pasukan pengembaraan mini’ ini untuk mencari jalan pulang ke habitat asal mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd



