'Dia mahu penilaian adil'

'Dia mahu penilaian adil'

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Musnahnya harapan, hancurnya impian, kejamnya Olahraga Malaysia (MA) apabila Muhammad Fakrul Afizul Nasir, pemegang rekod kebangsaan 400 meter berpagar, digugurkan daripada skuad Sukan Sea ke Thailand, walaupun dia sudah pun layak kategori A dan kos penyertaannya ditanggung sepenuhnya oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Keputusan kontroversi itu meranapkan impian seorang anak muda yang sudah berjuang keras demi nama negara.

Fakrul, yang baru berusia 21 tahun, sepatutnya menjadi aset terbesar dalam acara 400 meter berpagar, namun tindakan Olahraga Malaysia (MA) menimbulkan persoalan besar, apa sebenarnya yang berlaku dalam badan induk olahraga negara?

Fakrul bukan atlet biasa. Dia memecahkan rekod kebangsaan sebanyak dua kali, pertama pada Jun 2023 di Kejohanan Olahraga Remaja Asia Bawah 20 Tahun dengan catatan 51.26 saat, memadam rekod lama berusia 18 tahun milik Shahadan Jamaludin; kedua pada Ogos 2024 di Sukan Malaysia (Sukma) 2024 dengan catatan 51.11 saat, sekali gus menulis semula rekod peribadi dan rekod temasya.

Namun, semua pencapaian itu seakan tidak bermakna apabila Fakrul digugurkan kerana tidak mencapai masa yang ditetapkan MA, 52 saat, semasa beraksi di Kejohanan Varsity Track & Field 2025 baru-baru ini.

Untuk rekod Fakrul hanya mencatat 53.12 saat, prestasi yang sebenarnya luar biasa jika dilihat dari sudut situasi sebenar iaitu trek basah akibat hujan dan tubuhnya baru pulih daripada kecederaan hamstring tahap tiga.

Seorang atlet yang memegang rekod kebangsaan, baru pulih daripada kecederaan, dan beraksi dalam keadaan trek sukar sepatutnya diberi peluang bukannya diketepikan.

MA seharus memahami nilai pencapaian dan situasi sebenar atlet, bukan mengira angka di kertas.

Lebih menyakitkan, ini adalah kali kedua Fakrul mengalami nasib serupa.

Kali pertama ketika Sukan Sea di Kemboja, kali ini berulang lagi di Thailand. Kecewa dan luluh hati, Fakrul seorang atlet muda yang bersedia berkorban untuk negara menerima berita pengguguran itu dengan hati remuk.

“Dia bukan minta layanan istimewa. Dia cuma mahu penilaian yang adil. Kalau pemegang rekod kebangsaan pun boleh diketepikan atas alasan teknikal sebegini, apa lagi asas sebenar penentuan MA?

“Ini sudah kali kedua dia kena begini. Di Kemboja pun dia sudah layak, tetapi keputusan saat akhir menafikan peluangnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top