Jakarta: Seorang budak lelaki di Kalimantan Timur, Indonesia, terselamat selepas diserang dan ditarik ke dalam air oleh seekor buaya ketika bermain di bawah rumah bertiang berhampiran tebing sungai.
Memetik MS News, rakaman video serangan yang berlaku pada 9 November di Kampung Muara Bengalon menunjukkan, penduduk kampung menjerit dan bergegas menyelamatkan budak itu.
Ketua Polis Bengalon, AKP Asriadi Jafar berkata, kejadian berlaku ketika budak itu bermain di atas jambatan kayu di bawah rumah.
Jelasnya, seekor buaya tiba-tiba muncul dari air, menggigit kanak-kanak itu dan menariknya ke dalam air.
“Buaya itu menarik mangsa ke dalam air. Nasib baik, penduduk bertindak cepat dan berjaya menyelamatkannya,” katanya.
Difahamkan, seorang penduduk terjun ke dalam sungai untuk memegang ekor buaya tetapi gagal mengekalkan cengkamannya.
Penduduk lain pula, kemudian bergegas membantu membebaskan budak itu dari mulut buaya.
Dalam pada itu, budak itu dilaporkan mengalami kecederaan serius pada leher dan badannya tetapi berjaya dikeluarkan dari air dan dibawa ke hospital terdekat untuk rawatan kecemasan.
Kini, mangsa sedang menerima rawatan perubatan rapi dan keadaannya semakin pulih.
Susulan itu, Asriadi dan anggota polis tempatan melawat budak itu di hospital bagi memberikan dorongan moral kepada keluarga.
Sementara itu, ketua polis menasihati, masyarakat supaya sentiasa berwaspada, terutama kanak-kanak yang sering bermain berhampiran sungai atau saluran air yang menjadi habitat buaya.
“Pihak berkuasa mengingatkan penduduk di kawasan pesisir dan tepi sungai di Kutai Timur supaya sentiasa berhati-hati kerana penampakan dan serangan buaya semakin kerap berlaku berhampiran kawasan kediaman,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



