Polis tembak mati 3 penjenayah dikehendaki

Polis tembak mati 3 penjenayah dikehendaki

am@hmetro.com.my

Melaka: Tiga penjenayah samun paling dikehendaki ditembak mati selepas menyerang anggota polis ketika cuba ditahan dalam operasi di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal, awal pagi tadi.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, ketiga-tiga suspek penyamun itu ditembak mati oleh sepasukan polis selepas bertindak menetak seorang koperal yang cuba menahan mereka dalam kejadian 4 pagi.

Beliau berkata, suspek bersenjatakan parang panjang itu terdiri daripada dua lelaki berusia 24 tahun dan seorang berusia 29 tahun dikenali Geng DT.

“Seorang anggota polis mengalami kecederaan serius iaitu ditetak di tangan kiri dan hampir meragut nyawanya.

“Polis tiada pilihan dan terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri dan ketiga-tiga suspek mati di tempat kejadian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, hari ini.

Beliau berkata, kumpulan penjenayah itu dipercayai terbabit dalam 20 kes pecah rumah, kilang dan kedai makan sejak 2024 dengan anggaran kerugian mencecah RM1.3 juta.

“Suspek dipercayai menggunakan modus operandi bergerak secara berjalan kaki sambil membawa senjata untuk menyamun premis sasaran bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Berita lanjut menyusul.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top