Penyanyi remaja, Ahmad Dayyan, 13, tampil menjelaskan status hubungannya dengan Dzahira Thalita Zahra, 12, iaitu anak kepada pelawak dan usahawan terkenal, Shuib.
Menurut anak sauadara kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza ini menjelaskan, hubungan mereka tidak seperti yang dispekulasikan netizen.
“Saya rapat dengan Talita sebagai kawan saja, tak lebih pun,” jelasnya.
Amad berkata, mereka mula berkawan rapat sejak sama-sama menyertai program realiti nyanyian, baru-baru ini.
“Kawan-kawan dalam program itu semua baik dan dah macam keluarga saya.
“Insya-Allah, kalau ada rezeki… mungkin saya dan Thalita akan keluarkan lagu duet nanti,” ujarnya.
Amad berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single sulungnya Mendewasa berlangsung di Gombak, minggu lalu.

Menariknya, Thalita turut hadir memberi sokongan bersama Shuib dan ibu tirinya, Watie Hanifiah, pada majlis berkenaan.
Dalam masa sama, Amad turut menepis dakwaan ada yang cemburu dengan kemesraan persahabatan mereka.
“Tak ada siapa pun cemburu. Saya selalu beritahu peminat, kami memang kawan saja. Lagipun saya masih muda lagi,” katanya.
Sebelum ini, Amad dan Thalita sering menjadi tumpuan di media sosial selepas penyanyi muda itu memuat naik beberapa foto mereka di TikTok yang membuatkan netizen ‘berteka-teki’.
Artikel Berkaitan: Tidak Terasa Hati, Amad Dayyan Anggap Usikan Rakan ‘Jangan Nyanyi Pegang Bahu’ Sekadar Gurauan




