'Saya tidak berminat dengan cerita panas' – Nor Albaniah

'Saya tidak berminat dengan cerita panas' – Nor Albaniah

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Kalau untuk kebaikan apa salahnya, ‘post’ sajalah. Dia macam ini, sebab ada kebaikan dan ada keburukannya,” kata pelakon sensasi Nor Albaniah diminta mengulas penyebaran gambar aksi-aksi beraninya pada pertengahan era 1990-an di media sosial.

Nor Albaniah atau nama sebenarnya Nor Albaniah Raffie, 55, berkata, kebaikannya kerana dia masih aktif dalam seni dan dengan cara ini ia boleh mengingatkan peminat kepadanya.

“Bukan nak suruh ingat tapi memang kerjaya kita ini rasanya begini rupa. Dan kalau orang tanya saya untuk membuat cerita-cerita ‘panas’, sekarang ini saya tak nak buat sebab saya tak suka benda-benda itu.

“Tak apalah nak buat cerita panas, keluarkanlah balik gambar-gambar dulu. Masalahnya, kalau orang nak marahkan saya, bukan saya yang keluarkan. Pihak lain yang keluarkan, betul tak?

“Jadi orang marah sayakah atau orang marah mereka? Atau salah saya cakap? Macam pengendali portal, dia siar dengan tujuan untuk naikkan ‘view’ pagenya dan dapat untung. Apa yang saya dapat?,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Nor Albaniah lagi, dia bagaimanapun tidak boleh berbuat apa-apa kerana ia sudah berlalu dan itulah dirinya yang dahulu.

“Saya terima sajalah. Maaf sebab saya kurang arif dengan perkara view atau view YouTube ini.

“Kalau view nak tarik orang, tak mengapa, tulis sajalah yang baik-baik. Itu zaman lalu. Janganlah mengecam, orang zaman dulu tak ada pun mengecam macam itu.

“Maaflah itu dulu, sekarang tak ada lagi. Dulu saya ada juga simpan sikit gambar itu, tapi banyak dah hilang lepas kemalangan dengan arwah suami, Sudarman Daud pada 11 Jun 1996,” katanya.

Nor Albaniah berkata, dia tidak mampu mengambil apa-apa tindakan kerana mereka ada simpanan gambar terbabit.

“Macam juga dengan telefon ini. Yang ada-ada dalam ini, kita tak boleh nak buat apa. Apakah dayaku untuk menyekat benda-benda ini?,” katanya.

Dia baru selesai menjalani penggambaran filem seram berjudul Manrobbuka arahan Suhaimi Lua terbitan Tanah Beris Filem Production.

Selain Noralbaniah, filem itu turut menampilkan barisan pelakon baharu seperti Wanie Ooi, Khaled Asharief, Haidar Hasanudin dan Adam Furqan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top