'Air naik ke tingkat satu, arus deras, penyelamat sukar untuk sampai ke sini' – Mangsa banjir di Hatyai

'Air naik ke tingkat satu, arus deras, penyelamat sukar untuk sampai ke sini' – Mangsa banjir di Hatyai

am@hmetro.com.my

Sintok: Seorang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terkandas akibat banjir di Hatyai, Thailand berkongsi situasi semakin membimbangkan apabila paras air kini naik hingga ke tingkat satu bangunan penginapan mereka.

Mimi Nadzirah Afiqah Md Suhaimi, 21, berkata perkembangan terkini setakat 8.18 pagi (waktu Thailand) mendapati arus deras menyukarkan bot penyelamat untuk sampai ke lokasi mereka.

“Paras air semakin naik sampai tingkat satu dan bot sukar datang ke tempat kami kerana air deras dan tinggi.

“Ini menyebabkan kesukaran kepada kami dan juga pihak yang cuba menyelamatkan kami,” katanya dalam perbualan WhatsApp dengan pihak UUM hari ini.

Menurutnya, keadaan pelajar dan staf UUM masih terkawal namun mereka kini bergantung kepada sumber yang sangat terhad.

“Kami cuma gunakan air hujan untuk mandi dan buang air. Untuk makanan, kami mengharapkan Konsulat Jeneral Malaysia sahaja. Setakat ini bantuan makanan sangat terhad dan kami terpaksa berkongsi sesama kami,” katanya.

Dia turut merayu agar lebih banyak bantuan dapat disalurkan segera.

“Saya harap kami dapat apa-apa bantuan bekalan makanan daripada mana-mana pihak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top