Borussia Dortmund prihatin nasib mangsa banjir di Malaysia

Borussia Dortmund prihatin nasib mangsa banjir di Malaysia

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Nama Malaysia terus ‘mendonia’ apabila kelab gergasi Jerman, Borussia Dortmund (BVB) tampil mengucapkan solidariti kepada rakyat negara ini yang berdepan musim banjir, sekali gus menarik perhatian penyokong bola sepak seluruh dunia.

Ucapan itu dimuat naik menerusi akaun rasmi kelab berkenaan dengan poster khas menampilkan logo BVB serta mesej penuh empati, menyatakan keselamatan mangsa banjir adalah keutamaan mereka.

Dalam masa singkat, hantaran itu menjadi tular apabila meraih lebih 11,000 tanda suka selain dihujani lebih 260 komen daripada penyokong bola sepak, termasuk dari Malaysia.

Rata-rata penyokong tempatan meluahkan rasa terharu apabila sebuah kelab besar Eropah memerhati situasi yang menimpa negara ini, apatah lagi dalam suasana sukar yang sedang dilalui ribuan mangsa.

Ada yang memuji langkah kelab Bundesliga itu yang sentiasa menunjukkan hubungan rapat dengan komuniti global, sekali gus menambah rasa hormat peminat bola sepak Malaysia terhadap pasukan berkenaan.

Poster berlatarkan Stadium Signal Iduna Park itu jelas memberi gambaran BVB bukan sekadar kelab besar, tetapi organisasi yang peka terhadap isu kemanusiaan.

“Sentiasa berwaspada dan jaga diri baik baik,” itu antara mesej utama dikongsikan dalam grafik berkenaan, sekali gus mencerminkan sokongan moral BVB kepada rakyat Malaysia.

Dalam ruang komen, penyokong bola sepak antarabangsa turut menyampaikan kata kata doa dan semangat kepada rakyat Malaysia bagi menunjukkan solidariti merentas benua.

Langkah BVB itu mencetus perbualan dalam kalangan penyokong bola tempatan yang menyifatkan kelab itu memiliki ‘kelas tersendiri’ dalam menunjukkan kepedulian terhadap peminat luar negara.

Walaupun sekadar ucapan ringkas, tindakan itu sudah cukup mencetus rasa bangga kerana nama Malaysia sekali lagi disebut dalam platform bola sepak dunia dengan nada yang begitu positif.

Dalam suasana banjir yang penuh dugaan, mesej daripada BCB itu sekurang-kurangnya memberi semangat buat mangsa yang terjejas dan menyatukan peminat bola sepak tanpa mengira jarak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top