Jenazah Dharma selamat dikebumi

Jenazah Dharma selamat dikebumi

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Batu Caves: Jenazah pelakon veteran Dharma Harun Al Rashid, 68, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2, di sini, pada jam 12.30 tengah hari, hari ini.

Pengebumian berjalan lancar dengan dihadiri kira-kira 100 individu, termasuk ahli keluarga, rakan-rakan artis dan kenalan terdekat bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Terdahulu, jenazah Allahyarham diuruskan dan disolatkan di Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah, Wangsa Maju sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Antara rakan artis dan penggiat seni yang hadir ialah Mubarak Majid, Zaidi Omar, Datuk DJ Dave, Noor Kumalasari, Datuk Yusof Haslam, serta beberapa individu yang pernah bekerjasama dengan arwah dalam dunia seni.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

Allahyarham Dharma dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Wangsa Maju, malam tadi.

Berita pemergian itu dimaklumkan anak keduanya, Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 36, menerusi hantaran di Instagram Story.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top