azr@mediaprima.com.my
Keningau: Pembangunan berterusan dan rancangan memperkasa ekonomi tempatan menjadi agenda utama calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor, Rafie Robert dalam memastikan kawasan itu tidak lagi ketinggalan selepas bertahun-tahun berdepan jurang prasarana.
Beliau berkata, pembaharuan pembangunan mesti disambung tanpa henti, terutama selepas Bingkor sebelum ini dikategorikan sebagai kawasan yang jauh tertinggal berbanding daerah berdekatan.
“Bingkor ketinggalan hampir 10 hingga 15 tahun. Perjalanan pembangunan sudah bermula lima tahun lalu, dan sekarang tanggungjawab kita ialah meneruskan agenda itu supaya rakyat dapat merasai perubahan,” katanya.
Rafie yang juga calon termuda di kawasan itu berkata, keutamaan pentadbirannya adalah memastikan setiap projek pembangunan yang sudah dirancang sebelum ini diperkukuh, sambil menambah beberapa inisiatif baharu bagi menarik sokongan belia serta wanita.
“Saya mahu teruskan semua perancangan terdahulu, tetapi dengan penambahan rancangan baharu yang lebih dekat dengan keperluan anak muda dan wanita. Bila ekonomi rakyat disokong, sokongan mereka juga akan bertambah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas rakaman bual bicara PRN di Bingkor, Keningau, hari ini.
Rafie juga percaya bahawa kempen kali ini memberi kelebihan kepada GRS meskipun berdepan persaingan 10 penjuru, termasuk daripada parti-parti lain dalam blok politik Sabah.
Katanya, pengundi Bingkor cenderung kepada kestabilan serta rekod pentadbiran kerajaan negeri yang telah memberi banyak manfaat kepada masyarakat sejak PRN 2020.
“Persaingan 10 penjuru bukan masalah besar. Rakyat Bingkor lebih memilih kepada kebersamaan dan mahukan kerajaan yang sudah membantu kawasan ini sebelum ini,” katanya.
Rafie turut menolak dakwaan bahawa beliau hanya menumpang nama besar bapanya, Datuk Robert Tawik, penyandang kerusi Bingkor, sebaliknya menegaskan pencalonannya adalah strategi memilih pemimpin muda yang memahami kehendak belia.
“Saya bukan bertanding kerana legasi. Saya percaya pucuk pimpinan memilih saya kerana lebih 50 peratus pengundi Bingkor terdiri daripada mereka berusia 40 tahun ke bawah. Anak muda perlukan calon yang dekat dengan mereka,” katanya.
Ditanya mengenai majoriti lebih 5,000 undi yang dicapai bapanya pada PRN 2020, Rafie mengakui angka itu memberi motivasi dan keyakinan bahawa sokongan tersebut akan berterusan.
“Saya sangat yakin sokongan itu kekal. Cabaran sebenar ialah memastikan undi baharu beralih kepada GRS,” katanya.
Mengenai fokus pembangunan, Rafie berkata beliau mahu memperkasa industri pertanian yang menjadi nadi ekonomi penduduk Bingkor sambil membuka satu sektor baharu untuk masa depan.
“Kita akan kukuhkan industri pertanian sedia ada, dan pada masa sama saya mahu membuka sektor baharu iaitu industri pelancongan dan kebudayaan,” katanya.
Katanya, perancangan itu termasuk mewujudkan taman ekopelancongan di kawasan terbiar yang berpotensi, dengan melibatkan komuniti kampung sepenuhnya dalam pengurusan dan pengkomersialannya.
“Kita bawa komuniti kampung bersama, buka kawasan yang sebelum ini terbiar, dan jadikan ia tarikan ekopelancongan. Begitu juga dengan produk kraftangan yang diminati komuniti setempat,” katanya.
Menurut beliau, kombinasi pertanian, pelancongan dan budaya mampu menjadi pemangkin ekonomi baru untuk Bingkor, sekali gus mengangkat taraf hidup penduduk dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




