Jom Heboh: 2,500 sertai JPJ Fun Run, remaja 14 tahun menang motosikal

Jom Heboh: 2,500 sertai JPJ Fun Run, remaja 14 tahun menang motosikal

am@hmetro.com.my

Batu Kawan: Seramai 2,500 peserta menyertai acara larian ria sejauh tujuh dan lima kilometer (km) anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersempena Karnival Jom Heboh (KJH) X Mega JPJ MADANI 2026 di sini, hari ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pelbagai aktiviti seperti pemberian topi keledar percuma dan pameran kenderaan elektrik serta advokasi keselamatan jalan raya diteruskan pada hari terakhir program yang diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-80 JPJ itu.

“Sambutan amat memberangsangkan dan kita juga selesai mengadakan cabutan bertuah sempena program larian itu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Hadir sama melepaskan peserta seterusnya menyertai acara larian itu ialah Ketua Pegawai Operasi Media Prima OMNiA, Datuk Mohd Efendi Omar sebelum tetamu kenamaan melawat sekitar kawasan sambutan termasuk Kedai Jom Heboh, Kedai Cenderahati Rasmi TV3, reruai NSTP diiringi Pengarah KJH, Eileen Lim.

Sebelum itu, Aedy Fadly menyempurnakan acara penyampaian hadiah utama cabutan bertuah dengan 135 hadiah ditawarkan kepada peserta termasuk Honda RSX, motosikal elektrik YADEA RS20, alat senaman, jam pintar dan barangan elektrik.

Aliff Muhaimin Siddiq, 14, dari Kulim Kedah yang menyertai larian itu bersama ibu bapa dan ibu saudara muncul sebagai pemenang motosikal elektrik

Bapanya, Siddiq Fadil, 43, berkata, mereka berangkat menyertai acara larian itu dan bertolak dari rumah sejak jam 5.30 pagi tadi dan masih memikirkan bagaimana cara untuk membawa pulang hadiah motosikal itu.

“Kami terkejut pada masa yang sama gembira. Tak tahu lagi macam mana nak bawa balik motosikal ini. Walaupun selalu sertai acara larian sebegini, ini kali pertama kami menang hadiah cabutan bertuah sebesar ini,” katanya.

Sementara itu, seorang operator kilang, Siti Hajar Zunun, 36, dari Bertam, Kepala Batas turut tidak menyangka memenangi motosikal Honda RSX.

“Saya datang ke sini seorang sahaja menunggang motosikal. Saya memang sering menyertai acara larian sebagai motovasi menurunkan berat badan. Alhamdulillah rezeki terbesar tahun ini belum pernah lagi saya dapat hadiah cabutan bertuah yang mahal begini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top