Tujuh individu termasuk penjawat awam ditahan proses, edar ketum

Tujuh individu termasuk penjawat awam ditahan proses, edar ketum

mhafis@mediaprima.com.my

Sungai Buloh: Polis menahan tujuh individu termasuk seorang penjawat awam yang terbabit memproses dan mengedar daun ketum dalam operasi pematuhan di Taman Sri Putra, di sini.

Operasi bermula 12 tengah hari semalam hingga 5 pagi tadi dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman melalui Cawangan Risikan dan Operasi dengan dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sungai Buloh, yang membawa kepada rampasan 655 kilogram (kg) daun ketum serta 251.5 liter air ketum.

Pengarah JSPT, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dalam operasi terbabit, pasukan risikan berjaya mematahkan kegiatan penyimpanan, pemprosesan dan pengedaran bahan terlarang itu selepas menahan tujuh individu termasuk seorang penjawat awam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dan serbuan sepanjang operasi membawa kepada rampasan sejumlah 655 kg daun ketum yang ditemui dalam beberapa kenderaan serta premis kediaman yang dipercayai digunakan sebagai lokasi penyimpanan dan pemprosesan bahan itu.

“Turut dirampas sebanyak 251.5 liter air ketum yang disimpan dalam tong ais dan botol pelbagai saiz, dipercayai siap untuk diedarkan. Dua buah kenderaan juga disita bagi membantu siasatan.

“Nilai rampasan terbabit dianggarkan bernilai RM65,000, sebelum semua barang kes dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Sungai Buloh untuk tindakan lanjut mengikut undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis memandang serius kegiatan pengedaran daun ketum dan air ketum kerana ia boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat malah turut mengundang risiko kepada keselamatan pengguna jalan raya.

“Sehubungan itu, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan bahan terlarang sekali gus memastikan keselamatan pengguna jalan raya di seluruh negara terjamin,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top