Shamsul Iskandar buat laporan polis terhadap Albert Tei

Shamsul Iskandar buat laporan polis terhadap Albert Tei

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, hari ini membuat laporan polis terhadap ahli perniagaan Albert Tei yang didakwa menabur tuduhan fitnah kononnya wujud arahan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk beliau merakam beberapa ahli politik Sabah.

Shamsul Iskandar Mohd Akin membuat laporan polis itu jam 5.05 petang tadi ketika beliau hadir pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di kawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gum Gum di Sandakan.

Shamsul berkata, tuduhan fitnah ini jelas satu konspirasi jahat untuk memburukkan imej Perdana Menteri dan usaha terancang untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik, apatah lagi di musim kempen PRN Sabah.

“Saya tidak akan membiarkan mana-mana individu menggunakan nama saya atau jawatan saya sebelum ini untuk cuba menjatuhkan kerajaan atau mencemarkan nama baik Perdana Menteri.

“Saya yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memulakan siasatan segera, dan sedia memberi kerjasama bagi siasatan oleh mana-mana badan penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Harian Metro hari ini melaporkan, SPRM akan menjalankan siasatan terhadap tohmahan pemberian rasuah ahli perniagaan dikenali sebagai Albert Tei kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporka. berkata, pihaknya akan memanggil individu yang membuat tohmahan iaitu Albert Tei serta pihak yang ditohmah iaitu Shamsul Iskandar dalam masa terdekat bagi memberi keterangan.

Semalam, Shamsul Iskandar mengesahkan sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Shamsul dalam kenyataan di platform X berkata, terdapat percubaan untuk menyerang dirinya dengan perkara yang boleh merosakkan imej kerajaan Madani.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top