London: Novak Djokovic enggan menyentuh soal jumlah kekayaannya ketika diwawancara Piers Morgan awal bulan ini, namun bintang Serbia itu bukan sahaja pemain tenis lelaki paling berjaya sepanjang zaman, malah sedang menuju ke arah menjadi antara ahli sukan terkaya dalam sejarah.
Daripada segi kutipan hadiah kemenangan, Djokovic berada dalam kelas tersendiri apabila dia kekal sebagai pemain paling berjaya dalam tenis lelaki dengan jumlah keseluruhan hadiah kemenangan mencecah AS$191,252,375 (RM789.7 juta).
Jumlah itu terus meningkat pada musim 2025 biarpun Djokovic hanya bermain dalam jadual terhad kerana menumpukan kepada kejohanan Grand Slam.
Musim ini sahaja, dia meraih AS$5,127,245 (RM21.1 juta), sekali gus melebarkan lagi jurangnya dalam senarai hadiah kemenangan terbanyak sepanjang zaman.
Rafael Nadal berada di tangga kedua dengan AS$134,946,100 (RM557.3 juta) manakala Roger Federer di tempat ketiga dengan AS$130,594,339 (RM539.3 juta).
Namun angka itu hanyalah sebahagian kecil daripada pendapatan sebenar tiga legenda tenis itu sejak mereka mendominasi gelanggang tenis lelaki sejak awal alaf baharu.
Nadal memiliki deretan kontrak tajaan lumayan bersama Nike, Babolat, pembuat jam mewah Richard Mille, pengeluar kereta Kia Motors serta institusi kewangan seperti Santander dan Telefonica.
Federer pula menikmati kejayaan komersial besar menerusi On Shoes, perusahaan yang kini bernilai berbilion dolar dan dia sendiri adalah salah seorang pelaburnya.
Djokovic tidak kurang hebat, dengan kerjasama jangka panjang bersama jenama seperti Lacoste, ASICS, Head dan Hublot.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dia turut menambah Waterdrop, Aman, Qatar Airways dan beberapa lagi syarikat ke dalam portfolio penajanya.
Sebahagian besar kerjasama itu dijangka kekal walaupun selepas Djokovic meninggalkan gelanggang buat kali terakhir, memastikan kekayaannya terus berkembang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




