mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selangor FC akhirnya meraih keputusan positif dalam kempen Liga Juara Juara Asia 2 (ACL2) 2025-2026 selepas mengikat Bangkok United 1-1 di halaman lawan, malam tadi.
Keputusan itu sekali gus menamatkan penantian skuad Gergasi Merah yang sebelum ini gagal mengutip sebarang mata dalam empat perlawanan terdahulu.
Ketua jurulatih, Christopher Gamel berkata, keputusan itu lahir daripada keberanian pasukan untuk tampil dengan kombinasi pemain muda dan berpengalaman, satu pendekatan yang beliau tidak pernah rasa ragu untuk lakukan.
Menurutnya, keyakinan diberikan kepada pemain muda adalah asas penting dalam proses perubahan identiti permainan Selangor ketika ini dan beliau mahu mereka memahami bahawa setiap individu mempunyai peranan masing masing.
“Seperti yang anda lihat, saya tidak takut menurunkan pemain yang sangat muda kerana seluruh pasukan perlu mempercayai antara satu sama lain. Itu perkara asas yang cuba saya tekankan sejak awal.
“Keputusan hari ini sangat positif, terutama jika dibandingkan dengan perlawanan menentang Persib sebelum ini. Dalam aksi itu kami tewas pada saat akhir walaupun layak mendapat lebih. Jadi saya mahu memberikan kredit penuh kepada pemain kerana mereka tidak pernah berputus asa,” katanya.
Gamel berkata antara perkara paling menggembirakan ialah mentaliti pemain yang kekal yakin walaupun berdepan tekanan besar daripada pasukan tuan rumah sepanjang 90 minit permainan.
Katanya, setiap pemain memahami cabaran menentang Bangkok United yang diakui sebagai sebuah pasukan berkualiti tetapi Selangor tetap menunjukkan karakter yang kuat dengan bangkit pada detik akhir permainan.
“Saya tahu semua orang agak risau kerana lawan kami memang sangat bagus. Tetapi dengan kualiti kami sendiri, kami percaya kami mampu melakukannya. Itu yang saya mahu lihat daripada para pemain.
“Saya juga mahu memberi tabik hormat kepada semangat mereka. Apa yang mereka tunjukkan hari ini adalah refleksi mentaliti baharu yang cuba kami bina, dan itu sesuatu yang sangat positif untuk masa depan pasukan,” katanya.
Bagaimanapun, Gamel tidak menutup kelemahan yang masih perlu diperbaiki, terutama melibatkan kestabilan rentak dan keberanian pemain muda dalam mengawal permainan.
Di atas padang, Bangkok United membuka tirai jaringan menerusi Humichantuk selepas percubaan awal Muhsen Al Ghassani gagal ditangkap kemas.
Namun Selangor memastikan satu mata berharga dibawa pulang selepas Chrigor Moraes meledak gol penyamaan pada masa kecederaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




