am@hmetro.com.my
Shah Alam: Polis masih menjejaki pengasas program motivasi rumah tangga eHati dan suaminya yang dipercayai sudah melarikan diri ke luar negara.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, ketika ini pencarian dua individu yang sudah dikeluarkan waran tangkap itu masih diteruskan membabitkan bantuan pihak di negara dipercayai kedua individu terbabit berada ketika ini.
Menurutnya, polis juga belum mengeluarkan notis merah kepada pasangan itu berikutan polis mempunyai petunjuk jelas mengenai keberadaan mereka.
“Setakat ini, kedua individu berkenaan masih lagi belum dijumpai dan usaha pencarian masih diteruskan.
“Kita belum (notis merah) lagi sebab kita babitkan kerjasama antara negara dulu. Kita tahu mereka ke negara mana dan tidak ke mana pun,” katanya ketika ditemui selepas majlis Kempen Anti Buli di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.
Beliau memaklumkan pihaknya sentiasa berkolabrasi dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung kes berkenaan.
“Kami memang berhubungan sebab JAIS dan PDRM ada mesyuarat berkala dan perkara ada dibincangkan dan memang ada kolabrasi antara satu sama lain,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, dua individu termasuk pengasas sebuah program motivasi rumah tangga yang berdepan pendakwaan di mahkamah dipercayai melarikan diri ke luar negara.
Wanita itu dan suaminya dipercayai meninggalkan negara pada 13 Oktober lalu, sehari sebelum pertuduhan terhadap mereka dibuat di mahkamah.
Semakan mendapati mereka keluar mengikut laluan sah sebelum waran tangkap dikeluarkan.
Semalam, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam turut mengeluarkan waran tangkap terhadap pengasas eHati dan kaunselornya selepas didapati gagal hadir bagi pertuduhan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.
© New Straits Times Press (M) Bhd



