'Tanpa rakyat Thailand, kami mungkin kebuluran' – Pelajar UUM terkandas di Hatyai

'Tanpa rakyat Thailand, kami mungkin kebuluran' – Pelajar UUM terkandas di Hatyai

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terkandas akibat banjir besar di Hatyai sejak Sabtu lalu, menganggap bencana itu amat menakutkan terutama mereka yang mengalami masalah kesihatan.

Pelajar Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), Aaisya Nor Akbar, 22, berkata, mereka bagaimanapun bersyukur apabila dapat pulang ke Malaysia hari ini, selepas berhadapan cabaran getir.

Katanya, ada dalam kalangan rakan yang hilang semangat kerana berhadapan masalah kesihatan sehingga mengganggu emosi dan terlalu sedih.

Pada masa sama, mereka turut terharu apabila masyarakat tempatan membantu menyediakan makanan walaupun beras terpaksa dicatu dengan setiap orang hanya dapat semangkuk bubur bagi memastikan mereka tidak kebuluran.

“Kami tak akan lupa dengan rakyat Thailand yang membantu kami, saya rasa tanpa mereka kami akan kebuluran.

“Tambahan pula kami melihat keadaan banjir yang sangat teruk, kami redah banjir untuk balik ke hotel, walaupun air tak sampai satu meter tapi arus sangat kuat.

“Kami rasa takut dan sedih, sepatutnya kami pulang pada Sabtu, tetapi air naik mendadak menyebabkan kami terkandas. Alhamdulillah, akhirnya semua dapat keluar,” katanya dalam video yang dikongsi UUM hari ini.

Kesemua 36 pelajar dan dua pensyarah universiti itu kini dalam perjalanan pulang ke UUM dengan menaiki bas.

Aaisya turut mengucapkan terima kasih kepada pensyarah UUM yang sentiasa berada di sisi mereka.

Katanya, mereka juga tidak henti-henti menerima kata semangat daripada ahli keluarga, pihak universiti, pensyarah dan masyarakat tempatan.

“Tanpa mereka, dan sokongan pihak universiti serta Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, saya rasa kami mungkin menghadapi kesukaran lebih lama,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Abdul Hannan Abdul Halim, 20, berkata, mereka terpaksa berkongsi semangkuk bubur nasi untuk tiga orang termasuk air bersih untuk diminum.

Katanya, selain menggunakan pengecas mudah alih, mereka juga mengecas telefon pintar menggunakan bateri kereta milik rakyat Thailand.

“Masa banjir sedang naik, orang Thailand cabut keluar bateri kereta mereka, jadi kami dapat tumpang cas telefon.

“Bubur nasi pula disediakan setiap hari dan dikongsi antara kami. Tanpa bantuan mereka, kami mungkin kebuluran beberapa hari,” katanya.

Abdul Hannan turut menghargai usaha pensyarah mereka yang sanggup meredah banjir sejauh tiga kilometer untuk memastikan keselamatan pelajar.

“Kami juga berterima kasih kepada pihak universiti dan konsulat yang tidak putus-putus menguruskan bantuan dan komunikasi dengan keluarga,” katanya

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top