saufi@mediaprima.com.my
Medan Perang Yarmouk yang berlaku pada 636 Masihi antara tentera Islam dan tentera Byzantine membuktikan keupayaan serta strategi genius oleh salah seorang panglima perang Islam paling berkaliber, Saidina Khalid al-Walid.
Peperangan berkenaan membuktikan Khalid begitu cekap mengatur strategi tentera dan sebahagian sejarawan menyatakan beliau adalah panglima terhebat pernah direkodkan.
Rekod sejarah moden menyatakan bahawa bilangan tentera Byzantine sekitar 150,000 manakala tentera Islam sekitar 40,000.
Walaupun Byzantine memiliki keupayaan tentera yang ramai, namun Panglima Perang Byzantine, Zahan gagal menandingi keupayaan Khalid dalam membaca strategi peperangan musuh.
Pertempuran yang mempertemukan tentera Islam dengan empayar Byzantine ini sering disebut sebagai antara pertempuran paling berstrategi, paling dramatik dan paling menentukan dalam perkembangan tamadun Islam.
Di tengah padang gersang sekitar lembah Yarmouk iaitu berhampiran sempadan Jordan-Syria hari ini, kisah keberanian, kebijaksanaan dan keteguhan akidah direkodkan sebagai sebuah momen yang mengubah geopolitik wilayah selama berabad-abad.
Latar sejarah: Ketika dua kuasa besar mulai rapuh
Menjelang awal abad ketujuh, dua kuasa besar dunia, Byzantine di barat dan Parsi Sassanid di timur berada dalam keadaan lemah akibat peperangan panjang antara mereka.
Ekonomi runtuh, rakyat terbeban cukai manakala struktur politik kian rapuh. Keadaan ini membuka ruang kepada kemunculan sebuah kuasa baharu iaitu Islam yang ketika itu sedang berkembang pesat di bawah pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab.
Tentera Islam pada era awal bukan angkatan besar seperti empayar lain, tetapi mereka mempunyai kekuatan moral, kepemimpinan yang stabil dan kesatuan visi.
Pembukaan wilayah Syam yang bermula sejak zaman Khalifah Abu Bakar as-Siddiq memberi gambaran awal bahawa tentera Islam mampu menandingi kekuatan Byzantine.
Namun, kejayaan sebenar diuji dalam pertempuran besar seperti Yarmouk apabila tentera Byzantine menghimpunkan kekuatan raksasa mereka bagi cuba menolak kembali pengaruh Islam.
Strategi Saidina Khalid al-Walid dan peranan komander Islam dalam kemenangan di Yarmouk
Perang Yarmouk sering dianggap sebagai contoh terbaik bagaimana strategi, kepemimpinan dan koordinasi boleh mengatasi kelebihan angka musuh.
Sebagai komander medan, Khalid menjadi nadi utama dalam pergerakan tentera, formasi infantri dan lokasi strategik untuk menempatkan pemanah serta tentera berkuda atau kavalri.
Khalid menyusun formasi tentera dalam empat sayap dengan satu pasukan simpanan bergerak, membolehkan tindak balas pantas setiap kali musuh menekan sektor tertentu.
Beliau turut menggerakkan kavalri ringan dengan gaya perang bergerak (mobile warfare), menyerang rusuk kanan serta kiri dan belakang barisan Byzantine sehingga musuh gagal membentuk pertahanan kukuh.
Khalid tidak berseorangan dalam memimpin tentera Islam, tetapi ada komander lain yang turut berperanan.
l lSaidina Abu Ubaidah al-Jarrah – Panglima utama
Saidina Abu Ubaidah berperanan sebagai komander tertinggi tentera Islam ketika itu dan menjadi pengimbang antara strategi dan diplomasi.
Abu Ubaidah terkenal sebagai panglima yang lembut tutur, tetapi teguh prinsip.
Selepas Khalifah Umar melantik beliau sebagai ketua angkatan Islam di Syam, beliau bertanggungjawab menyatukan seluruh pasukan daripada empat sayap tentera yang berbeza.
l Saidina Khalid al-Walid – Komander medan
Khalid adalah field commander atau komander medan yang menguruskan strategi, gerakan infantri, mengawal pasukan kavalri dan merangka strategi tempur.
Walaupun Abu Ubaidah adalah ketua keseluruhan, Khalid adalah nadi taktikal di Perang Yarmouk.
l Saidina Yazid Abi Sufyan – Komander sayap tentera
Beliau berperanan untuk memimpin salah satu sayap utama tentera Islam supaya setiap arahan daripada komander medan dilaksanakan dalam koordinasi yang teratur.
l Saidina Syurahbil Hasanah – Komander infantri
Syurahbil mengawal unit infantri yang berfungsi sebagai benteng dan melaksanakan arahan sama ada untuk bertahan atau mara ke depan memburu musuh.
l Saidina Amru al-As – Komander pertahanan
Amru diberikan tanggungjawab mengawal bahagian belakang benteng pertahanan Islam untuk mengelakkan sebarang serangan mengejut daripada Byzantine.
Keupayaan kelima-lima komander Islam berkenaan menghasilkan strategi peperangan yang ampu di bawah seliaan Khalid.
Pertempuran enam hari: Strategi bijak Khalid al-Walid
Perang Yarmouk berlangsung enam hari dengan setiap hari menyaksikan perubahan taktik yang signifikan.
Khalid, komander medan yang dilantik Khalifah Umar, memainkan peranan penting dalam memastikan tentera Islam tidak terperangkap dalam strategi musuh.
Kepakaran beliau dalam perang bergerak (mobile warfare), penggunaan kavalri ringan dan teknik serangan balas tersusun menjadi faktor kemenangan utama.
Tentera Byzantine memiliki barisan infantri dan kavalri berat yang hebat, tetapi mereka sukar menyesuaikan diri dengan bentuk muka bumi dan perubahan taktik tentera Islam.
Tambahan pula, gabungan tentera Byzantine terdiri daripada pelbagai etnik antaranya Armenia, Slavia, Ghassanid dan Greek yang masing-masing mempunyai kepentingan politik berbeza.
Mereka tidak bersatu hati, berbeza dengan tentera Islam yang memiliki motivasi spiritual yang kukuh.
Pada hari terakhir, tentera Islam melancarkan serangan serentak dari pelbagai arah, mengakibatkan barisan Byzantine pecah.
Ramai tentera Byzantine terjatuh ke gaung Yarmouk ketika cuba melarikan diri.
Kemenangan ini benar-benar mematahkan kekuatan utama Byzantine di Syam, menjadikan pembukaan Damsyik, Hims dan seluruh Syria lebih mudah pada tahun-tahun berikutnya.
Keunggulan sang panglima
Kemenangan di Yarmouk akhirnya mengukuhkan nama Khalid sebagai antara panglima paling unggul dalam sejarah ketenteraan dunia.
Kehebatannya bukan sekadar terletak pada keberanian di medan perang, tetapi kecerdasan membaca gerak musuh, ketegasan membuat keputusan dan keupayaan memimpin ribuan tentera dalam situasi yang serba mendesak.
Beliau memahami bahawa kemenangan tidak datang daripada bilangan atau kelengkapan, tetapi daripada momentum, disiplin dan moral yang mantap.
Di Yarmouk, Khalid menggabungkan semua unsur ini menjadi satu kekuatan yang tidak mampu ditandingi empayar Byzantine.
Keunggulan Khalid juga terserlah melalui sifat tawaduknya.
Walaupun beliau dikenali sebagai ‘Pedang Allah’, gelaran yang membawa pengaruh besar, beliau sentiasa menghormati arahan ketua rasmi dan tidak pernah mendahulukan ego diri.
Kepemimpinan seperti ini yang menjadikan pasukan Islam tampil sebagai angkatan yang bersatu hati dan tidak goyah walau diasak berulang kali oleh tentera musuh yang jauh lebih besar.
Dalam catatan sejarah, Yarmouk bukan sekadar kemenangan taktikal, tetapi potret ketokohan Khalid sebagai komander yang memadukan keberanian, strategi dan iman.
Medan pertempuran Yarmouk akan terus dikenang sebagai bukti bahawa kepimpinan agung mampu mengubah haluan sejarah.
Penulis wartawan Harian Metro
© New Straits Times Press (M) Bhd



