Penyampai radio dan pelakon, Fizi Ali mengakui tidak menyangka ibadah Umrah pertamanya bersama keluarga mencetuskan spekulasi, susulan tindakan bekas isterinya, Shakilla Khoriri telah memuat naik status berbaur kontroversi.
Ketika ditemui media, Fizi atau nama lengkapnya, Mohd Hafizudin Alimudin, 36, menjelaskan hubungan komunikasi antara mereka sebelum ini sentiasa berada dalam keadaan baik, terutama ketika masing-masing bergilir menjaga dan membawa anak mereka, Ameena Sofia, bercuti.
“Saya sendiri terkejut bila perkara ini terjadi di Tanah Suci. Selama ini kami selalu berhubung. Kalau nak telefon atau mesej, dia (Shakilla) akan tanya dulu Ameena. Tak pernah timbul masalah sebelum ini.
“Kejadian macam ini memang tak sepatutnya berlaku… tapi saya pun tak tahu apa yang membuatkan dia bertindak begitu,” katanya.
Fizi ditemui ketika menghadiri Majlis Pengumuman Pra-Kemuncak Anugerah Bintang Popular BH ke-37 (ABPBH 37) di Menara Kuala Lumpur, malam Rabu.
Meskipun tidak mengetahui punca sebenar isu itu terceus, Fizi bagaimanapun tetap memohon maaf kepada mana-mana pihak yang mungkin terasa hati dengan caranya menguruskan anak sepanjang mereka menunaikan ibadah.
“Mungkin ada khilaf daripada saya. Jadi saya minta maaf kalau ada sesiapa yang rasa saya tak bertanggungjawab. Dengan sepuluh jari, saya mohon maaf atas apa yang berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, Fizi berharap isu berkenaan tidak lagi diperbesarkan kerana segala urusan berjalan lancar sebaik mereka pulang ke tanah air.
Katanya, sebarang salah faham sebenarnya boleh diselesaikan secara peribadi tanpa perlu melibatkan pihak luar.
“Benda macam ni sebenarnya boleh saja mesej terus. Bila jadi besar-besar, jadi tak sedap pula. Saya tak pasti ada orang yang ‘mencucuk’ atau tidak, tapi lebih baik selesaikan secara privasi. Bila saya hantar anak balik pun, semuanya okay. Apa pun, hal ini dah pun selesai,” katanya.
Sebelum ini, Shakilla mendakwa sudah sembilan hari tidak menerima khabar mengenai Ameena ketika kanak-kanak itu mengikuti Fizi menunaikan umrah.
Untuk rekod, Fizi dan Shakilla bercerai pada Disember 2021 selepas empat tahun berkahwin dan dikurniakan seorang anak perempuan, Ameena, kini berusia enam tahun.
Fizi kemudian mendirikan rumah tangga dengan Zulaikha pada 23 Oktober 2023.
Artikel Berkaitan: Ameena Tunai Umrah Bersama Fizi Ali, Shakilla Khoriri Dedah 9 Hari Tak Dengar Khabar Anak – “Umi Tak Berkecil Hati”
Artikel Berkaitan: Fizi Ali Persoal Tindakan Shakilla Khoriri, Minta Jangan Bangkitkan Isu – “Ameena Yang Tak Minta Untuk Call”




