Amaran hujan lebat berterusan di lima negeri hingga esok

Amaran hujan lebat berterusan di lima negeri hingga esok

suzalina@bh.com.my

Kuala Lumpur: Hujan sangat lebat yang berterusan pada kategori bahaya dijangka berlaku di beberapa daerah di lima negeri termasuk Putrajaya sehingga esok.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan berkata, amaran hujan berterusan itu dijangka berlaku di Kemaman, Terengganu; Maran, Kuantan dan Pekan di Pahang.

Selain itu, amaran sama turut dikeluarkan bagi tiga daerah di Selangor iaitu Klang, Kuala Langat dan Sepang serta Negeri Sembilan membabitkan Seremban dan Port Dickson.

“Amaran hujan berterusan bagi kategori buruk pula sehingga esok dijangka berlaku di beberapa daerah di lapan negeri iaitu Perak, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan Melaka dan Johor.

“Ia membabitkan daerah Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim di Perak.

“Di Terengganu pula ialah di Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun,” katanya.

Menurut METMalaysia, amaran hujan berterusan kategori buruk turut dikeluarkan di daerah Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Bera dan Rompin di Pahang; serta Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat di Selangor.

Katanya, amaran sama dikeluarkan bagi daerah Jelebu, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin di Negeri Sembilan serta Tangkak, Segamat dan Muar di Johor.

“Amaran hujan berterusan kategori waspada hingga esok pula membabitkan beberapa daerah di Kedah, Perak dan Johor serta keseluruhan Pulau Pinang serta Kelantan.

“Bagi Kedah, daerah yang dijangka berlaku hujan kategori waspada iaitu di Kulim dan Bandar Baharu; di Perak membabitkan Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak serta Kuala Kangsar selain Batu Pahang, Kluang dan Mersing di Johor,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top