London: Liverpool mungkin meminta Jurgen Klopp untuk kembali semula membimbing kelab itu sekiranya mereka memecat Arne Slot.
Klopp, 58, yang menjadi pilihan peminat dan digantikan oleh Slot pada musim panas 2024, kini muncul sebagai calon terbaik jika pihak atasan di Anfield hilang sabar dengan Slot.
Klopp yang kini memegang jawatan sebagai Ketua Global Bola Sepak Red Bull, besar kemungkinan hanya akan diminta untuk mengisi kekosongan hingga akhir musim.
Ini kerana, pemilik kelab meletakkan Luis Enrique dari Paris Saint-Germain (PSG) sebagai sasaran jangka panjang.
Slot menegaskan beliau masih mendapat sokongan pemilik kelab, Fenway Sports walaupun sedang melalui episod hambar sembilan kekalahan dalam 12 perlawanan yang semakin meningkatkan tekanan terhadapnya.
Pengendali Belanda itu berkata perbincangan dengan pihak atasan tetap berlangsung sepanjang tempoh buruk itu, yang bertambah parah semalam selepas kekalahan memalukan 1-4 di Anfield kepada PSV Eindhoven dalam aksi Liga Juara-Juara.
“Ia adalah perbualan yang sama seperti sejak saya tiba di sini, sama seperti sepanjang satu setengah tahun lalu,” kata Slot.
Namun laporan SunSport mendedahkan terdapat kebimbangan dalam kalangan eksekutif tertinggi Liverpool bahawa beliau mungkin sudah kehilangan sokongan bilik persalinan.
Selepas perbelanjaan rekod 426 juta (RM2.33 bilion) pada musim panas lalu, prestasi Liverpool merudum daripada pencabar kejuaraan kepada pasukan yang terus bergelut.
Lembaga pengarah kini dilapor sudah menyediakan pelan kecemasan – dengan Klopp, yang menamatkan penantian 30 tahun Liverpool untuk menjulang kejuaraan liga pada tahun 2020, antara nama yang dibincangkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




