am@hmetro.com.my
Kemaman: “Saya baru masuk ke ruang tamu rumah, tiba-tiba runtuhan tanah dan pokok menghentam bahagian dapur sehingga runtuh,” kata Hajarah Said, 52, yang tinggal di Felcra Seri Bandi, dekat sini, hari ini.
Katanya, kejadian itu berlaku apabila tanah di belakang rumahnya runtuh ekoran hujan lebat, kira-kira 9.30 pagi.
Selain Hajarah, sebuah rumah milik jirannya turut mengalami kerosakan pada bahagian dapur selepas ditimpa runtuhan tanah dan pokok terbabit.
Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang memasak di bahagian dapur manakala anak perempuannya serta seorang anak saudaranya berada dalam bilik.
“Sebaik selesai masak dan melangkah masuk (ke ruang tamu), tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman yang kuat.
” Saya segera menjerit memanggil anak. Kami keluar untuk membuat pemeriksaan, dan amat terkejut apabila melihat bahagian dapur rumah dan bahagian dapur jiran saya ditimpa tanah dan pokok tumbang,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Katanya, dia sangat bersyukur kerana selamat dalam kejadian itu.
“Rumah saya terletak kira-kira 10 meter dari bukit dan saya langsung tidak menyangka kejadian ini boleh berlaku,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris berkata, beliau bersama anggota bomba Kijal meninjau ke tempat kejadian.
Menurutnya, kedua-dua pemilik rumah terbabit sudah diarahkan berpindah demi keselamatan memandangkan keadaan hujan lebat masih berlaku.
“Kita bimbang kejadian ini kembali berulang dan kerja pembaikian akan dilakukan sebaik cuaca kembali pulih,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




