firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Hukuman beraksi tanpa penonton ke atas Selangor FC (SFC) perlu diambil kesempatan sebaiknya oleh barisan pemain Sabah FC apabila bertandang ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi aksi timbal balik separuh akhir Piala FA, Ahad ini.
Menurut pengendali skuad The Rhinos, Jean-Paul de Marigny, keputusan seri 2-2 dalam aksi pertama di Kota Kinabalu sebelum ini sedikit memberi kelegaan biarpun akui bukan mudah untuk beraksi di depan penyokong Red Giants nanti.
Namun, hukuman beraksi tanpa penonton ke atas SFC mungkin boleh menyentap sedikit motivasi tuan rumah dan ia perlu dimanfaatkan sebaiknya pemain Sabah.
“Secara peribadi, saya juga agak kecewa apabila penyokong kami tidak dapat terbang ke sana untuk saksikan pasukan beraksi tetapi inilah bola sepak dan kita perlu ikut peraturan.
“Namun, saya harap kita dapat melakukan kejutan di sana dalam misi melunaskan impian peminat untuk menyokong pasukan pada detik yang lebih istimewa (pentas final),” katanya.
Skuad Merah Kuning sebelum ini berdepan ujian berat selepas dihukum beraksi di stadium tertutup oleh Persekutuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan insiden pergaduhan penyokong di Stadium MBPJ ketika menentang Negeri Sembilan FC sebelum ini.
Untuk rekod, Sabah pernah menjulang trofi Piala FA pada edisi 1995 dan pernah bergelar naib juara sebanyak tiga kali pada edisi 1993, 1994 dan 1998.
Perlawanan final Piala FA dijangka berlangsung pada pertengahan Disember ini di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
© New Straits Times Press (M) Bhd




