8 premis jual ubat kandungi racun berjadual, kosmetik diserbu

8 premis jual ubat kandungi racun berjadual, kosmetik diserbu

am@hmetro.com.my

Seremban: Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) menyerbu lapan premis menjadi tumpuan warga asing yang menjual produk kesihatan tidak berdaftar dan disyaki mengandungi racun berjadual serta kosmetik tidak bernotifikasi.

JKNNS menerusi satu kenyataan berkata, operasi melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Sembilan dilaksanakan di premis sekitar bandar Seremban dan Senawang, semalam

“Pemeriksaan dijalankan ke atas lapan premis susulan daripada aduan awam dan hasil risikan dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan pengguna terutamanya dalam kalangan warga asing.

“Hasil pemeriksaan ini berjaya merampas sebanyak 200 jenis produk tidak berdaftar dan kosmetik yang tidak bernotifikasi dengan nilai rampasan melebihi RM80,000,” katanya, hari ini.

Menurut kenyataan itu, operasi bersepadu dijalankan membabitkan agensi polis, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan serta bantuan pegawai penguat kuasa farmasi daripada ibu pejabat, Selangor, Melaka, dan Johor.

Katanya, kesalahan yang dilakukan adalah melanggar Peraturan 7(1)(a) dan Peraturan 18(A)(1) Peraturan- Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1), Akta Jualan Dadah 1952.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top