nurul.hidayah@hmetro.com.my
Subang Jaya: Seramai 169 pejuang kanser kanak-kanak diraikan dalam Program Kembali ke Sekolah Sesi 2026 Siri 12 Jelajah Zon Siri 3 anjuran Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-Anak Kanser (KIDS).
Pengerusi KIDS, Azniah Mohamed Ghulam berkata, program itu membabitkan pemberian bantuan persekolahan kepada peserta terbabit sempena sesi persekolahan baharu pada Januari 2026.
“Program yang berlangsung hari ini adalah pembukaan kepada program Kembali ke Sekolah Sesi 2026 yang akan diadakan di seluruh Malaysia mengikut zon ditetapkan.
“Mydin Hypermarket Sdn Bhd dipilih sebagai pemula program Kembali ke Sekolah untuk Zon Tengah.
“Program seterusnya akan diadakan di Zon Timur, Zon Selatan, Zon Utara selain di Sabah dan Sarawak dengan Waqaf Felda sebagai penaja utama,” katanya ketika ditemui pada Program Kembali ke Sekolah Sesi 2026 Siri 12 Jelajah Zon Siri 3, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Waqaf Felda, Hisyam Ahmad.
Azniah berkata, program bantuan persekolahan itu bertujuan meringankan beban kewangan keluarga pesakit kanser kanak-kanak.
“Ia juga memastikan pendidikan anak-anak tidak terjejas rentetan masa dan kos dibelanjakan di sepanjang mereka menerima rawatan di hospital.
“KIDS juga mengambil kesempatan untuk meraikan sebahagian pejuang kanser yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024,” katanya.
Sementara itu, Hisyam berkata, pihaknya bekerjasama dengan KIDS dalam program berkenaan sejak tahun lalu sebagai salah satu agihan manfaat kepada golongan rentan.
“Pada tahun lalu, kami memberi sumbangan sebanyak RM27,000 dalam program ini, manakala RM14,000 disumbangkan pada tahun ini.
“Program ini sudah menjadi acara tahunan yang menyaksikan kerjasama antara Waqaf Felda dengan pihak KIDS.
“Selain itu, kami juga ada berbincang dengan pihak KIDS untuk meluaskan kerjasama dengan penganjuran program lain termasuk di bulan Ramadan nanti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




