am@hmetro.com.my
Muar: Dua nelayan diselamatkan selepas bot mereka dilaporkan tenggelam di perairan Haji Baki di sini, hari ini.
Koordinator operasi mencari dan menyelamat (SAR), Kapten Maritim Kama Azri Kamil berkata, Maritime
Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima makluman awal pada 11.13 pagi.
Beliau berkata, bot dinaiki kedua-dua mangsa kebocoran sebelum terbalik ketika mereka keluar menangkap ikan.
“Bot PETIR 51 dari Zon Maritim Batu Pahat kemudian digerakkan ke lokasi.
“Namun, pada kira-kira jam 12 tengah hari, MRSC dimaklumkan bahawa kedua-dua mangsa telah berjaya diselamatkan oleh bot tunda, Frase Dolphin, yang kebetulan berada berhampiran,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Kama Azri yang juga pemangku Pengarah Maritim Negeri Johor, bot PETIR 51 kemudian melakukan pemindahan mangsa daripada bot tunda sebelum membawa mereka ke Jeti Bentayan di sini.
Kedua-dua mangsa, Mohamed RaziAbd Rahman, 31 dan Muhammad Hafiz
Ahmad Daud, 30, diserahkan kepada ahli
keluarga sebaik tiba di jeti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




